Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peralihan tenaga saksama di Asia Tenggara

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Asia Tenggara merupakan antara rantau yang paling pesat membangun di dunia dengan sekuriti tenaga dan pembangunan ekonomi termasuk akses kepada keperluan tenaga asas, kekal menjadi keutamaan bagi rantau tersebut.

    Dalam menyokong pertumbuhan berkenaan, minyak dan gas khususnya akan terus menjadi bahagian yang penting dalam campuran tenaga serantau serta akan terus relevan dan mustahak bagi tahun-tahun mendatang termasuk bagi memacu peralihan tenaga dalam memajukan komitmen rantau untuk Sifar Bersih.

    Oleh itu, adalah penting bagi peralihan tenaga yang saksama bagi Asia Tengara yang
    membolehkan peruntukan bagi laluan peralihan yang berbeza disesuaikan kepada keupayaan dan keutamaan ekonomi negara-negara serantau.

    Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra selaku Pengerusi Pameran dan Persidangan Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2023 – Seminar Tenaga dalam kata alu-aluannya di Perasmian Brunei MYCE 2023 – Seminar Tenaga yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan perasmian seminar berkenaan ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yusof.

    Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua hadir selaku tetamu kehormat. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Pengiran Haji Jamra Weira ketika menyampaikan ucapan alu-aluan. Gambar oleh Muiz Matdani
    Para jemputan yang mneghadiri ke majlis itu. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Antara penel-paenel yang ikut serta dalam majlis tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin; Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw; Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang), JPM, Dato Seri Paduka Haji
    Sufian bin Haji Sabtu; Timbalan Menteri (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam), JPM, Dato Seri Paduka Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos; duta besar dan pesuruhjaya tinggi, setiausaha-setiausaha tetap, para pegawai kanan kerajaan, ketua-ketua pegawai eksekutif dan pengarah urusan bagi badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat.

    Pengiran Haji Jamra Weira menyatakan bahawa dalam mengukuhkan keupayaan mereka, seminar itu memberikan tumpuan khusus kepada empat bidang berimpak tinggi bagi rantau berkenaan iaitu peranan penggunaan tenaga bersih untuk menggantikan tenaga intensif karbon, pentingnya kemunculan teknologi canggih bagi mengurangkan pelepasan daripada sektor yang sukar dikurangkan, mengukuhkan kesalinghubungan tenaga bagi mengoptimumkan sumber-sumber boleh diperbaharui di serata rantau serta peranan mekanisme pembiayaan sebagai pemboleh utama untuk memajukan usaha peralihan tenaga.

    Seminar Tenaga yang dianjurkan oleh Jabatan Tenaga di JPM dengan kerjasama Pusat Tenaga ASEAN (ACE) dan Institut Penyelidikan Ekonomik bagi ASEAN dan Asia Timur (ERIA) itu diadakan selama dua hari bermula hari ini dengan matlamat untuk menggalak-
    kan perkongsian ilmu pengetahuan di peringkat serantau dan meningkatkan kefahaman mengenai dengan proses mempercepatkan peralihan tenaga yang saksama.

    Seminar yang membawa tema ‘Peralihan Tenaga Saksama ke arah Pembangunan Mampan dan Hijau di Asia Tenggara’ itu menghimpunkan pakar-pakar serantau dan tempatan, pihak-pihak berkepentingan dalam industri tenaga, ahli-ahli akademik, para penyelidik, pegawai-pegawai kerajaan, institusi kewangan serta belia untuk sama-sama mengambil bahagian dalam perbincangan dan pembentang di seminar berkenaan.

    Tema seminar menekankan seruan serantau bagi tindakan bersepadu untuk mempercepatkan peralihan tenaga serantau, di samping memastikan kesaksamaan dan keterangkuman kepada ekonomi, masyarakat dan komuniti.

    Ia memerlukan komitmen bersepadu bagi menyediakan bekalan tenaga elektrik mampu milik dan boleh dipercayai ke rantau ini, di samping mengekalkan jaminan tenaga serta komitmen kepada perubahan iklim.

    Semasa seminar berkenaan, topik-topik yang diketengahkan bertujuan untuk membentuk konsep sinergi dan asas dalam menyumbang kepada strategi peralihan tenaga selaras dengan negara-negara Asia Tenggara yang lain, dan berfungsi sebagai platform untuk berkomunikasi dengan pihak-pihak berkepentingan serantau.

    Sesi-sesi sepanjang seminar berkenaan menumpukan kepada empat perkara utama iaitu Clean Energy Deployment for a Just Energy Transition, Emerging Technologies for Clean Energy Future, Energy Interconnection in Securing Energy Transition, dan Exploring Financing Mechanisms for Energy Transition.

    Panel berkaitan dengan Mekanisme Pembiayaan bagi Peralihan Tenaga menyatukan pelbagai perspektif, terutamanya bagi negara-negara yang bergantung kepada bahan api fosil.

    Sesi itu juga mengkaji mekanisme pembiayaan yang inovatif dan langkah kewangan untuk mempercepatkan peralihan tenaga.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda