Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Perambut wayar musuh ikan bergigi tajam

    Oleh Raz AS

    Sesetengah spesies ikan mempunyai gigi tajam yang mampu memutuskan tali perambut, sama ada mono atau flouro, dengan mudah sekali umpama pisau panas membelah mentega.

    Tenggiri, lengkoh atau alu-alu, wahoo dan lain-lain lagi, jika bernasib baik sekali-skala pemancing mungkin akan berjaya menaikkannya, tetapi selalunya ia memerlukan pemancing untuk menggunakan perambut dawai.

    Dengan penggunaan perambut dawai, peluang pemancing untuk menewaskan pemangsa bergigi tajam pasti akan meningkat berlipat ganda berbanding menggunakan tali perambut biasa.

    Secara amnya terdapat dua jenis wayar yang digunakan sebagai perambut pancing, single strand atau utas tunggal yang menjurus pada sifatnya yang hanya terdiri daripada seutas dawai, dan multiple strand atau utas berbilang, yang terdiri daripada utasan dawai yang disulam seakan-akan tali.

    Kedua-dua jenis perambut wayar ini diperbuat daripada salah satu bahan, sama ada daripada keluli tahan karat (stainless steel) ataupun daripada titanium.

    Wayar utas tunggal diikat dengan cara melilit. – Agensi

    Perbezaan antara perambut wayar, terutama jenis utas tunggal, yang diperbuat daripada keluli tahan karat dengan titanium adalah, wayar titanium lebih nipis berbanding wayar keluli tahan karat meski mempunyai tahap kekuatan yang sama.

    Selain itu, wayar titanium juga lebih fleksibel dan tidak mudah terlipat akibat gasakan ikan kerana mempunyai sifat sifar memori. Jika dilipat atau dililit ia akan kembali kepada bentuk asalnya. Malah, ia mampu merenggang sehingga 15 peratus daripada panjang asalnya. Namun di sebalik kelebihan-kelebihan ini tentu sahaja harganya yang lebih mahal berbanding wayar keluli tahan karat.

    Walau bagaimanapun, sebelum awda terus ‘terjun’ menggunakan wayar titanium dan meninggalkan wayar keluli tahan karat sama sekali, perlu juga diketahui bahawa kadang-kadang kekurangan bukanlah bermaksud kelemahan.

    Wayar keluli tahan karat lebih karau dan mudah dilipat, ini bermakna ia mudah diikat ke mata kail atau kili-kili hanya dengan membuat lilitan beberapa kali, berbanding wayar titanium yang perlu diikat atau menggunakan kelim. Bahagian wayar yang dililit dengan kemas akan mempunyai kekuatan yang berganda berbanding kekuatan asalnya. Manakala, kelim yang tidak dipasang dengan betul akan berhadapan risiko terlucut atau putus.

    Sekiranya awda menggunakan wayar keluli tahan karat atas sebab yang dinyatakan di atas, perlu diingat bahawa jika terdapat bahagian atau kesan terlipat sama ada akibat pertarungan atau secara tidak senghaja, perambut wayar itu perlu diganti dengan yang baharu kerana kesan lipatan itu boleh menjadi titik lemah pada perambut awda.

    Menyentuh mengenai yang mana lebih baik digunakan, utas tunggal atau utas berbilang? kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan-nya sendiri.

    Utas tunggal lebih kuat dan tahan gigitan ikan bergigi tajam berbanding diameternya yang nipis. Ia memerlukan playar tajam untuk dipotong. Diameter nipis juga bermaksud ia kurang kelihatan di dalam air.

    Walau bagaimanapun, seperti yang telah dijelaskan tadi kesan lipatan boleh menjadi titik lemah pada perambut wayar utas tunggal. Sekiranya lubang lingkaran wayar dibuat terlalu ketat pada mata kail atau kili-kili ia akan lebih mudah terlipat. Kesat lipatan ini akan mengurangkan kekuatannya berlipat ganda.

    Manakala, perambut wayar berbilang utas pula lebih tebal tetapi lebih lembut dan fleksibel, membolehkannya senang untuk diikat dengan teknik ikatan khas seperti ikatan 8 (Figure 8 knot) dan lainnya.

    Meskipun begitu, kelembutan dan kefleksibelannya juga mempengaruhi ketahanannya.

    Ia boleh dipotong dengan menggunakan gunting yang mempunyai kualiti yang bagus. Ini bermakna ia boleh putus sekirannya terkena gigi ikan yang sangat tajam.

    Wayar berbilang utas terdiri daripada utas-utas halus yang disulam seakan tali, apabila tergeser gigi tajam ikan utas-utas halus itu boleh putus satu persatu semasa pertarungan yang memakan masa yang lama.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...