Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Pendidikan tidak berlaku secara berasingan tetapi melalui kerjasama dengan rakan-rakan strategik seperti Seria Energy Lab, Universiti Brunei Darussalam dan SEAMEO RECSAM, inovasi berasaskan-sekolah dan juga kapasiti guru dapat terus dipupuk menjadi peta tindakan bagi pembelajaran pelbagai disiplin dunia sebenar.
Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati bintu Haji Tajuddin dalam ucapannya di Simposium Sains 2025 yang berlangsung di Dewan Mawaddah, Setia Point Berakas, pagi tadi.
Mengulas mengenai perkembangan kolektif, beliau menyatakan dalam laporan PISA 2022, Negara Brunei Darussalam merupakan satu daripada hanya 4 buah negara secara global yang telah memperbaiki prestasi dalam kesemua tiga mata pelajaran iaitu matematik, membaca dan sains.
Sejak 2018, skor sains Brunei telah meloncat sebanyak 15 mata iaitu daripada 431 kepada 446, sekali gus meletakkan Brunei di tempat ketiga di kalangan peserta Asia Tenggara serta ke-42 seluruh dunia, jelasnya lagi.
“Ini lebih daripada sekadar angka. Ia mencerminkan impak sebenar bilik darjah dan komitmen awda yang tidak berbelah bahagi kepada kecemerlangan.” Tekan Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati dalam ucapannya lagi.
Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa kementerian mengambil maklum akan cabaran-cabaran seperti sumber yang terhad, kemahiran pedagogi yang berubah serta integrasi AI beretika.
Beliau menambah bahawa laporan UNESCO’s 2019 Beijing Consensus yang diperakui oleh lebih 50 orang menteri pendidikan, dengan jelas menyatakan bahawa AI seharusnya memperkasa dan bukannya mengganti pendidik. Justeru UNESCO’s 2024 AI Competency Frameworks membimbing penggunaan AI beretika dan berpaksikan manusia dalam pembelajaran dan pengajaran, ulasnya lagi.
Guru-guru adalah masih amat diperlukan dan kini mereka dilengkapkan dengan peralatan yang mampu mengembangkan lagi impak mereka.
Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati seterusnya menyatakan bahawa usaha yang dilaksanakan oleh para guru hari ini akan membentuk generasi masa depan iaitu pelajar berakar umbi dalam budaya, yakin dalam inkuiri serta berilham untuk berinovasi.
“Itulah legasi yang kita bina bersama,” tekannya lagi dalam ucapan pada majlis berkenaan.
