Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Tema Hari Harta Intelek Sedunia, IP and the SDGs: Building our Common Future with Innovation and Creativity, pada tahun ini sangat relevan kerana harta intelek memainkan peranan penting dalam menyokong inovasi, dengan memberikan inovator dan pencipta mekanisme yang boleh dikuatkuasakan berdasarkan undang-undang untuk melindungi ciptaan dan seterusnya mendorong lebih banyak inovasi dan pengkomersialan.
Tema itu mengingatkan bahawa harta intelek bukan sekadar tentang hak undang-undang, tetapi ianya juga merupakan alat yang kukuh untuk pembangunan mampan.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib semasa menyampaikan ucaptama sempena Hari Intelek Harta 2024 yang berlangsung di salah sebuah hotel di Gadong, hari ini.
Beliau turut menambah Hak Harta Intelek dapat memudahkan pencapaian pelbagai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Melalui paten, model utiliti dan reka bentuk berdaftar, ciptaan dan inovasi dilindungi mungkin penting untuk banyak bidang dalam SDG seperti pertanian, tenaga boleh diperbaharui dan penjagaan kesihatan.”
Selain itu, melalui Hak Cipta untuk melindungi ciptaan dan bahan intelektual, ia seterusnya boleh meningkatkan atau memajukan pendidikan berkualiti baik di negara ini mahupun di seluruh dunia.
Beliau seterusnya menjelaskan, melalui inisiatif BruIPO, mereka berhasrat untuk memanfaatkan harta intelek sebagai pemangkin untuk pembangunan mampan, mencipta laluan bagi Brunei Darussalam bagi merealisasikan bukan sahaja Wawasan 2035 tetapi pada masa yang sama komitmen SDG.
Selain itu, beliau turut mengongsikan antara SDG yang penting di mana harta intelek boleh memainkan peranan yang penting dengan SDG 2 dan SDG 12 iaitu berkaitan dengan sifar lapar dan penggunaan yang bertanggungjawab; SDG 4 iaitu Pendidikan Berkualiti; SDG 7: Tenaga yang Berpatutan dan Bersih; serta SDG 13: Tindakan Iklim.
“Brunei Darussalam terus memperkukuh landskap harta intelek dan kami tetap bertekad untuk berkongsi pengalaman serta bekerjasama dengan rakan-rakan ASEAN dan global kami,” jelasnya.
Pada majlis itu, tetamu kehormat seterusnya menyampaikan anugerah kepada pemenang peraduan Poster Digital: BruIPO National Poster-Making dan anugerah Inovasi Datastream Digital Sdn Bhd (DST).
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri Radin Basiuni serta tetamu-tetamu yang lain.