Oleh Cikgu Roya –
Ibu bapa berperanan dalam memastikan persediaan anak-anak berjalan dengan lancar apabila sesi persekolahan bermula. Pelajar tidak akan merasa terkejut atau cemas apabila sesi persekolahan bermula. Mereka akan mempunyai masa untuk menyesuaikan diri dengan jadual, bahan pembelajaran dan rutin sekolah. Ini sekali gus akan mengurangkan perasaan terburu-buru atau tertekan.
Dengan persediaan awal juga membolehkan pelajar untuk menyemak topik-topik penting, membeli buku teks atau buku kerja latihan dan mempersiapkan alat tulis atau peralatan belajar yang diperlukan.
Ini membantu pelajar untuk lebih fokus sewaktu belajar dalam kelas dan meningkatkan keberkesanan pembelajaran apabila sesi bermula.
Berikut adalah beberapa peranan utama ibu bapa dalam membantu proses ini:
MEMBERIKAN SOKONGAN EMOSI
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memberi sokongan emosi kepada anak-anak.
Anak-anak akan merasa dihargai dan disokong dalam segala usaha mereka, baik dalam persediaan akademik mahupun aktiviti lain jika ibu bapa memberikan sokongan emosi kepada mereka.
Antara contoh sokongan emosi adalah dengan memujuk anak apabila mereka merasa tertekan terutama sekali bagi anak-anak yang akan melangkah ke suasana persekolahan baharu.
Selain itu, dengan memberikan informasi yang mencukupi kepada anak juga dapat membantu anak-anak mengatasi tekanan dan stres, terutamanya ketika mereka dalam suasana baharu di samping rakan sekelas yang baharu. Banyakkan menggunakan ayat saranan membina seperti, ‘adalah lebih baik jika/ sekiranya…..’ daripada menggunakan ayat ‘tapi kan…..’
MENYEDIAKAN PERSEKITARAN PEMBELAJARAN YANG KONDUSIF
Ibu bapa perlu memastikan persekitaran rumah adalah selesa untuk belajar. Ini termasuk menyediakan ruang yang tenang serta bebas dari gangguan untuk anak-anak membuat persediaan atau mengulang kaji pelajaran. Mereka juga boleh membantu dengan menyediakan peralatan belajar yang diperlukan, seperti buku, alat tulis atau teknologi yang relevan.
Berbincanglah dengan anak-anak dan guru kelas bagi mengetahui buku-buku dan peralatan persekolahan yang diperlukan. Gunakanlah peralatan belajar yang masih boleh digunakan untuk mengelak pembaziran.
MEMBANTU MERANCANG MASA
Peranan ibu bapa dalam membantu anak-anak merancang jadual masa adalah sangat penting. Mereka boleh membantu mengatur waktu antara belajar, rehat, sembahyang dan aktiviti lain, supaya anak-anak tidak merasa terbeban atau keletihan.
Pengurusan dan pemantauan masa oleh ibu bapa dengan baik akan membantu anak-anak menjadi lebih produktif dan mengelakkan berlengah-lengah.
MEMBERI DORONGAN DAN MOTIVASI
Ucapkanlah kata-kata semangat dan pengiktirafan terhadap usaha anak-anak. Ia boleh memberi mereka semangat untuk terus berusaha walaupun menghadapi cabaran. Ibu bapa berperanan sebagai pendorong utama dalam setiap detik kehidupan anak-anak.
Motivasi dan dorongan yang berterusan dapat membantu anak-anak tetap fokus pada matlamat mereka. Dan ingatlah, ucapan kata-kata positif dan semangat daripada ibu bapa untuk anak-anak merupakan satu doa.
MENJADI MODEL PERANAN
Ibu bapa perlu menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada anak-anak, terutamanya dalam disiplin dan sikap positif terhadap pendidikan.
Ibu bapa perlu menunjukkan bahawa mereka sendiri menghargai proses pembelajaran dan kerja keras, memberi inspirasi kepada anak-anak untuk turut melakukan perkara yang sama.
Bimbing anak-anak dengan melakukan aktiviti bersama seperti dengan sembahyang berjemaah, makan malam atau membersihkan rumah.
MENYEDIAKAN KEPERLUAN FIZIKAL DAN MENTAL
Persediaan anak-anak bukan sahaja melibatkan aspek akademik tetapi juga keperluan fizikal dan mental. Ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat tidur yang cukup, pemakanan yang seimbang, serta aktiviti fizikal yang mencukupi untuk menjaga kesihatan tubuh dan minda mereka.
Kawal penggunaan gajet anak-anak ketika tempoh sesi persekolahan telah bermula. Jangan biarkan anak leka dengan aktiviti yang melalaikan. Bimbing anak-anak untuk kembali fokus pada matlamat asal dalam belajar.
BEKERJASAMA DENGAN GURU DAN SEKOLAH
Bekerjasama serta berkomunikasi dengan pihak sekolah dan guru untuk mengetahui perkembangan anak-anak.
Dengan mendapatkan maklumat yang jelas dan tepat tentang kemajuan akademik, keperluan khusus anak-anak, ibu bapa dapat membantu memberikan sokongan yang lebih berkesan. Jika berlaku sebarang perkara berbangkit sama ada hal melibatkan akademik mahupun disiplin anak di sekolah, berbincanglah dengan pihak pengetua, hal ehwal pelajar atau kaunselor di sekolah.
MEMBERI PENDIDIKAN NILAI-NILAI MURNI DAN ETIKA
Persediaan anak-anak juga merangkumi pengajaran nilai-nilai murni, sopan santun dalam pergaulan, adab pelajar kepada guru dan etika yang baik perlu diserapkan dari rumah lagi.
Ibu bapa juga berperanan dalam mendidik anak-anak tentang tanggungjawab, integriti, dan bagaimana menghadapi kegagalan serta kejayaan dengan bijak.
KESIMPULAN
Peranan ibu bapa dalam memastikan persediaan anak-anak berjalan dengan lancar sangat besar. Ibu bapa tidak hanya bertanggungjawab dalam menyediakan keperluan fizikal dan material, tetapi juga dalam memberi sokongan emosi, motivasi dan bimbingan yang diperlukan agar anak-anak dapat mencapai kejayaan yang diinginkan.
Dengan kerjasama antara ibu bapa, anak-anak, dan sekolah, persediaan anak-anak dapat berjalan dengan lebih lancar dan berkesan.
Ibu bapa adalah sokongan utama dalam perjalanan anak-anak. Memberi kasih sayang, sokongan dan bimbingan yang berterusan adalah asas kejayaan mereka. Pastikan anak-anak berasa selamat, dihargai dan bermotivasi untuk mencapai potensi terbaik mereka.
Beri ruang untuk kegembiraan dan kreativiti. Jangan hanya fokus kepada akademik sahaja, tetapi beri anak-anak ruang untuk menikmati kehidupan mereka, berehat, santai dan meneroka minat lain.
Kegiatan ko-kurikulum, seni dan sukan juga sangat penting dalam pembentukan karakter dan kemahiran sosial anak. Anak yang seimbang, gembira dan sihat mental lebih cenderung untuk berjaya dalam pelajaran.
Tahun 2025 adalah peluang untuk pelajar menulis cerita baharu dalam perjalanan akademik dan peribadi.
Tetapkan matlamat, jaga disiplin, dan sentiasa positif walaupun menghadapi kesukaran.
Ingatlah bahawa setiap usaha akan membawa kepada pencapaian yang bermakna.
Dengan kerjasama yang baik antara pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah, sesi persekolahan 2025 in sya-Allah pasti akan berjalan dengan lancar dan penuh dengan kejayaan. Selamat menghadapi tahun baru ini dengan penuh semangat!