Khamis, November 20, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peranan Ibu bapa bentuk peribadi anak – Fazura

    Pelakon dan usahawan, Nur Fazura menzahirkan pandangan tegas berhubung isu jenayah seksual dan keganasan membabitkan remaja yang semakin membimbangkan kebelakangan ini.

    Dalam sesi siaran langsung di media sosialnya baru-baru ini, Fazura menegaskan bahawa peranan ibu bapa amat penting dalam membentuk peribadi anak-anak sejak dari rumah, bagi mengelakkan mereka terjerumus ke dalam perbuatan jenayah seperti rogol atau mencederakan orang lain, menurut laporan Harian Metro.

    “Sebagai ibu bapa, marilah kita terapkan rasa kasih sayang dalam hati anak-anak sejak dari rumah. Tanamkan juga nilai empati, belas kasihan serta ajarkan mereka mengawal perasaan marah dan dendam, supaya anak-anak kita tidak memiliki sifat-sifat yang membawa kepada perlakuan jenayah,” katanya.

    Fazura berkata, tanggungjawab mendidik anak bukan hanya diserahkan kepada pihak sekolah atau masyarakat, sebaliknya bermula daripada ibu bapa sendiri.

    “Didikan yang pertama dan paling utama datangnya daripada rumah. Apa jua nilai yang kita tanam dalam diri anak-anak, semuanya bermula daripada kita sebagai ibu bapa,” katanya.

    Pelakon Manisnya Cinta di Cappadocia itu turut meluahkan kebimbangannya terhadap cabaran mendidik anak di zaman serba mencabar ketika ini.

    “Zaman sekarang memang sangat mencabar. Jadi, perbanyakkanlah doa, semoga anak-anak kita semua dilindungi Allah SWT. Anak saya sendiri baru lima tahun dan setiap hari saya tidak putus berdoa agar dia sentiasa berada di bawah lindungan-Nya,” katanya.

    Fazura turut menyentuh kepentingan kesedaran terhadap isu kesihatan mental yang menurutnya turut menjadi antara punca kepada peningkatan kes jenayah membabitkan golongan muda.

    Dia dalam masa sama menolak tanggapan bahawa ibu bapa zaman kini bersikap ‘lembik’, sebaliknya menegaskan ramai dalam kalangan mereka tanpa sedar menjadi ‘enablers’ iaitu membiarkan sikap buruk anak-anak tanpa teguran atau tindakan tegas.

    “Ramai tahu anak sendiri bersalah, tapi masih pertahankan dan tutup kesalahan itu. Malah ada yang salahkan orang lain. Walaupun tahu anaknya curang, menipu, mencuri atau memukul orang, tetap juga dibela. Ini bahaya. Jadi, janganlah kita jadi enablers,” katanya.

    Berkongsi pengalamannya sebagai ibu, Fazura berkata dia sentiasa mendidik anak perempuannya, Nur Fatima Aisya agar belajar bertanggungjawab atas setiap kesilapan yang dilakukan.

    “Kalau dia silap, dia perlu bertanggungjawab. Pernah sekali dia tertumpahkan minuman coklat dan takut nak beritahu saya. Saya tanya dengan baik, dan bila dia mengaku, saya tegur dengan lembut tapi tegas. Saya beritahu, kita tak boleh menipu sebab Allah marah,” katanya.

    Fazura turut mengingatkan ibu bapa agar tidak menyalahkan anak orang lain apabila anak sendiri melakukan kesalahan.

    “Kalau anak kita buat salah kepada orang lain, tegurlah anak kita dahulu, bukan anak orang. Jangan jadi ibu bapa yang membiarkan perangai buruk anak tanpa teguran. Dari situlah datangnya masalah besar rogol, jenayah dan sebagainya,” tegasnya. – Agensi

    Fazura tegaskan peranan ibu bapa amat penting dalam membentuk peribadi anak-anak. – Gambar fail
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda