Oleh Yusrin Junaidi
Kita sering mendengar masalah gejala sosial remaja seperti vandalisme dan gengsterisme yang semakin hari semakin membimbangkan.
Oleh itu, peranan ibu bapa sangat penting dalam mendidik dan membentuk sahsiah yang baik dalam diri anak-anak.
Adalah penting untuk menangani masalah-masalah seperti ini pada peringkat awal dan memastikan anak-anak terhindar daripada pengaruh negatif yang dapat merosakkan masa depan mereka.
Sehubungan itu, penulis berpendapat memastikan anak terhindar daripada pengaruh negatif penting kerana golongan remaja merupakan aset berharga kepada negara sebagai generasi pelapis yang akan memimpin negara pada masa akan datang. Jika sahsiah remaja rosak, maka masa depan negara akan turut terjejas.
Pandangan ini penulis lontarkan setelah menghadiri persidangan di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) baru-baru ini.
Mu’tamar Antarabangsa Fiqh Al-Usrah (Muafiq23)
KUPU SB melalui Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, baru-baru ini telah mengadakan Mu’tamar Antarabangsa Fiqh Al-Usrah (MUAFIQ 23) dengan tema Membina Keluarga Bahagia Bertauladankan Rasulullah SAW.
Antara objektif MUAFIQ 23 ialah membentuk keluarga yang bahagia, mempraktikkan tarbiyah Islam dalam keluarga dengan mencontohi cara Rasulullah SAW, memperkasa pendidikan kekeluargaan Islam dalam kalangan umat Islam masa kini, mengenal pasti isu-isu dalam kehidupan berkeluarga dan mendedahkan kepentingan nilai-nilai keagamaan berserta kaedah penerapannya dalam kesempurnaan kehidupan sebuah keluarga Muslim.
Peranan ibu bapa
Dalam muktamar itu, penulis tertarik dengan salah satu kertas kerja yang dikemukakan, mengenai peranan ibu bapa. Ibu bapa yang yang memiliki anak soleh dah solehah amat bertuah, kerana ia dapat membantu dengan mendoakan kesejahteraan mereka.
Hal ini jelas dinyatakan dalam hadis daripada Imam Muslim yang berbunyi: Apabila meninggal dunia seseorang insan, maka terputuslah semua amalannya kecuali dari tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya. (HR Muslim).
Bagi ibu bapa di luar sana, antara peranan yang perlu ada pada mereka berdasarkan pengamatan penulis ialah menyediakan pendidikan agama yang cukup kepada anak-anak kerana ia merupakan salah satu faktor utama yang mampu membentuk sahsiah yang cemerlang dalam diri mereka.
Kekurangan ibu bapa dalam menitikberatkan didikan agama kepada anak-anak boleh menyebabkan mereka terjebak dalam masalah sosial.
Justeru, penulis sarankan amalkan ajaran agama Islam yang sangat diperlukan dalam diri anak-anak. Pendidikan agama yang lengkap mampu membantu mereka untuk membezakan antara perkara yang hak dengan yang batil sekali gus mencegah daripada terjebak dengan perkara yang negatif.
Isu penceraian
Semasa MUAFIQ 23 berlangsung, beberapa pakar telah membentangkan kertas kerja mengenai isu-isu ke-keluargaan. Antara kertas kerja tersebut ialah Isu Hubungan Intim Suami Isteri Punca Penceraian: Satu Kajian yang disampaikan oleh Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa dari Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Negara Brunei Darussalam.
Menurutnya, isu perceraian sering kali menjadi perbualan dan perbincangan pada masa kini. Apatah lagi apabila sudah bergelar janda atau duda pada usia muda. Gelaran tersebut boleh menjejaskan fizikal dan mental sehingga menyebabkan kemurungan, sikap marah dan sebagainya. Apa yang penting, keputusan pasangan untuk bercerai adalah lahir daripada keputusan bersama dengan alasan-alasan yang tersendiri.
Antara faktor yang menyebabkan berlakunya perceraian adalah isu hubungan intim suami isteri. Sesetengah masyarakat beranggapan isu ini tidak perlu dibahaskan atau dikembangluaskan perbincangan mengenainya serta rasa malu untuk diutarakan.
Begitulah realiti kehidupan, sesuatu yang dipandang remeh pasti tidak mahu difikirkan.
Akan tetapi, kerana perkara yang dianggap remeh inilah punca berlakunya kes-kes penceraian yang semakin meningkat.
Seterusnya, wakil dari Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga Jabatan Hal Ehwal Syariah, KHEU, Awang Muhammad Hanif bin Haji Sha’ari telah menyampaikan kertas kerja mengenai Keluarga Sakinah, yang menyentuh mengenai cabaran dan penyelesaian antara pasangan suami isteri di Negara Brunei Darussalam.
Pembentangan itu bertujuan untuk memperlihatkan realiti hidup berkeluarga di Negara Brunei Darussalam mengikut data yang diperoleh dari jabatan itu.
Bahagian itu merupakan salah satu badan yang bertanggungjawab dalam menangani isu-isu pasangan suami isteri khasnya dan perkahwinan dan keluarga amnya. Dalam pembentangan ini, Awang Muhammad Hanif mengongsikan beberapa isu yang dihadapi dan cara penyelesaiannya. Juga dikongsikan statistik jumlah aduan dan sebab-sebab yang diadukan oleh pasangan serta beberapa data lain yang berkaitan dengan pengadu.
Modul kursus pranikah
Seterusnya, wakil-wakil KUPU SB dari Fakulti Pendidikan Sains Kemasyarakatan, Dr Ahmad Yunus bin Kasim dan Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, Dr Haji Sham bin Haji Amin telah menyampaikan kertas kerja mengenai Penilaian Modul Kursus Pra-Nikah, Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Syariah dan Unit PBRT JAMAAT, Kementerian Pertahanan Negara Brunei Darussalam.
Institusi keluarga merupakan asas binaan sesebuah masyarakat dan negara yang berperanan mendidik, mencurahkan kasih sayang, mengasah bakat setiap ahli keluarga agar dapat berfungsi sebagai hamba dan khalifah Allah dengan berkesan.
Kerapuhan institusi keluarga melibatkan kes pengabaian tanggungjawab, gagal menunaikan nafkah, ketidakadilan dalam berpoligami serta terjerat hutang boleh dicegah dengan keberkesanan modul kursus praperkahwinan yang disediakan.
Sehubungan itu, kurikulum kursus pranikah perlu sentiasa dinilai agar terus relevan dalam memenuhi tuntutan dan cabaran kontemporari. Tambahan pula, kecanggihan perkembangan teknologi dalam Era Revolusi Industri 4.0 turut memerlukan transformasi institusi keluarga segera dilakukan untuk menangani isu sosial dan ekonomi kontemporari masyarakat Islam.
Justeru, kertas tersebut membincangkan dapatan kajian berkaitan analisis keperluan terhadap keperluan penambahbaikan modul kursus praperkahwinan sedia ada dalam konteks kaedah pelaksanaan, tenaga pengajar, prasarana yang disediakan dan sebagainya.
Dalam konteks ini, perhatian dan inisiatif yang serius perlu diberikan oleh semua pihak untuk memastikan kursus pranikah dapat berfungsi dengan berkesan agar paradigma pembentukan institusi keluarga dan sistem kekeluargaan Islam ini menjadi agenda arus perdana di dalam mempersiapkan generasi wawasan 2035 Negara Brunei Darussalam.
Pemakanan halal dalam keluarga
Ibu bapa juga memainkan peranan yang sangat penting dalam mentarbiyah anak-anak terhadap pemakanan halal. Pengiran Dr Hajah Norwidayawati binti Pengiran Haji Metusin dari Fakulti Syariah, KUPU SB telah membentangkan kertas kerja mengenai isu berkenaan.
Beliau berkata, anak merupakan amanah Allah kepada ibu bapa untuk dijaga, dipelihara dan ditarbiyah dengan sempurna. Salah satu cara penjagaannya ialah dengan menyediakan pemakanan yang baik dan halal sejak lahir.
Manakala di peringkat remaja dan dewasa, ibu bapa masih meneruskan peranannya dalam proses pentarbiyahan tentang konsep halal ini iaitu dengan cara mementingkan pemilihan ramuan dan sumber makanan yang dibeli, dimasak dan dimakan adalah diyakini halal.
Dapatan kajian yang dijalankan ke atas 790 pelajar sekolah menengah Tahun 9 baru-baru ini menunjukkan keseluruhan item pengaruh ibu bapa dalam mentarbiyah anak-anak terhadap pemakanan halal berada pada tahap tinggi.
Implikasi kajian ini menunjukkan ibu bapa dilihat masih perlu memainkan peranannya dalam proses pentarbiyahan tentang konsep halal dalam melindungi anak-anak mereka.