Oleh Nurdiyanah R.
Gambar Serahan CSB
Seiring berkembangnya zaman, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) turut mengalami perubahan yang ketara di mana banyak membantu memudahkan kehidupan harian kita dalam mendapatkan dan menyebarkan infomasi dengan pantas.
Dunia tanpa sempadan yang berpaksikan Internet pastinya satu hal yang tidak asing lagi dalam kehidupan masyarakat dunia amnya. Dari hari ke hari, kita turut merasai penggunaan Internet sudah sebati dalam setiap gerak-geri kehidupan kita.
Namun apa yang perlu kita tekankan di sini, sejajar dengan perkembangan ICT yang semakin mudah diakses lebih-lebih lagi dengan adanya peranti mudah alih seperti telefon pintar, komputer, tablet yang semakin berkembang pesat ditambah pelbagai aplikasi berasaskan Internet ini boleh diibaratkan sebagai ‘pisau bermata dua’.
Diibaratkan ‘pisau bermata dua’
Persoalannya di sini, mengapa penggunaan Internet diibaratkan ‘pisau bermata dua’? Secara spesifiknya penglibatan manusia berinteraksi melalui dalam talian dilihat mempunyai kepentingannya yang tersendiri, dan juga membawa implikasi kepada pelbagai aspek kehidupan seharian seperti pendidikan, sosial, agama, politik dan juga ekonomi.
Menerusi penggunaannya, ia mampu memberi 1,001 manfaat serta impak negatif kepada kita. Hakikatnya penggunaan rangkaian media sosial ini akan diakhiri dengan implikasi negatif jika penggunaannya tidak terkawal dan melewati batasan-batasan tertentu.
Apabila kita menilai dari sudut positifnya, begitu jelas dengan menggunakan pelbagai aplikasi berasaskan Internet, ia sememangnya merupakan satu utiliti sosial yang dapat membantu individu untuk berkongsi maklumat dan berkomunikasi secara efisien dengan sahabat, keluarga dan rakan seperjuangan. Namun sebaliknya, ia juga boleh membawa kepada kesan negatif di mana ia boleh mewujudkan sifat mementingkan diri sendiri apabila terlalu asyik melayari Internet sehingga lupa kepada orang di sekeliling.
Tidak dinafikan juga, kewujudan pelbagai aplikasi berkenaan juga mampu menawarkan satu wadah yang baik untuk memaksimumkan proses pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan antaranya dengan memudahkan sesi perbincangan dan sekali gus menggalakkan perkongsian pandangan dalam penulisan dengan lebih cepat sehingga menjimatkan masa. Namun jika disalah gunakan maka implikasi sebaliknya akan diperoleh oleh si pengguna.
Internet sudah menjadi perkara penting kehidupan masyarakat kerana ia pintu gerbang kepada banyak maklumat. Namun jangan pula terlepas pandang, menerusi penggunaannya juga kita mudah terdedah dengan mesej-mesej atau sumber yang berunsur negatif seperti gambar atau video pornografi, penyebaran ajaran sesat, dan sebagainya.
Hakikatnya, penggunaannya yang tidak terkawal mampu menghancurkan ketinggian moral dan akhlak masyarakat Islam terutamanya generasi muda. Ini terbukti dengan fenomena budaya sekarang seperti antaranya berpakaian menjolok mata, lelaki bertindik atau bersubang, fesyen rambut yang beraneka bentuk dan warna, hiburan yang melampaui batas sehingga melahirkan budaya hedonisme yang menjurus kepada keseronokan hidup, melakukan maksiat di tempat terbuka tanpa segan silu, tidak menghormati orang tua dan lain-lain.
Pantau anak-anak sewajarnya
Mutakhir kini, realiti kehidupan di mana sesetengah masyarakat misalnya dalam kalangan ibu bapa menjadikan gajet seperti telefon bimbit dan tablet sebagai senjata utama untuk memujuk atau menenangkan anak-anak duduk diam dan tidak mengganggu urusan kerja mereka.
Tidak kiralah di mana keberadaan mereka sama ada di rumah, di restoran atau di mana-mana sahaja, Persoalannya juga di sini, sejauh mana pemberian gajet berteraskan penggunaan Internet ini mampu mewujudkan nilai-nilai sihat untuk anak-anak atau sebaliknya?
Sungguh tidak dapat disangkal lagi, dalam era globalisasi yang dipenuhi dengan kecanggihan teknologi, sudah setentunya detik-detik ini menjadi cabaran kepada para ibu bapa atau penjaga untuk memantau aktiviti dalam talian anak-anak, lebih-lebih lagi bagi mereka yang terdedah dengan trend terkini.
“Penggunaan Internet menjadi sebahagian besar daripada sistem pendidikan kini, di mana kanak-kanak hari ini mempunyai akses ke Internet pada usia yang sangat muda dan mereka selesa dengannya.
“Dengan kata lain, golongan muda itu sememangnya kini begitu mudah berinteraksi menggunakan Internet berbanding generasi-generasi terdahulu terutamanya yang belum banyak terdedah dengan pelbagai platform rangkaian media sosial.
“Justeru itu, sebagai ibu bapa atau penjaga perlunya memainkan peranan masing-masing dalam mengawasi anak-anak ketika melayari Internet,” antara yang ditekankan oleh penganalisa keselamatan siber, Cyber Security Brunei (CSB), Dayang Nomi Hafiz Zakiah binti Haji Pawi semasa menyampaikan webinar berjudul Keeping Your Children Safe Online menerusi Zoom Meeting, baru-baru ini.
Katanya, pelbagai langkah pendekatan bagi keselamatan dalam talian untuk anak-anak, itu meliputi kawalan fizikal, kawalan akses, perisian kawalan ibu bapa, program perisian antivirus, konfigurasi tetapan, dan aspek kesedaran dan komunikasi.
Dalam langkah-langkah berkenaan, betapa pentingnya para ibu bapa atau penjaga menetapkan pengawalannya kepada anak-anak merangkumi peraturan mengenai berapa lama mereka boleh melayari Internet, program perisian yang boleh digunakan dan aktiviti yang dibenarkan berdasarkan kesesuaian umur, pengetahuan dan kematangan.
Di samping itu, kepentingan menyimpan maklumat peribadi adalah sangat ditekankan dan perlu diamalkan oleh para ibu bapa atau penjaga di mana maklumat peribadi dan gambar di Internet mendatangkan bahaya kerana gambar yang dimuat naik ini sukar untuk dipadamkan.
Ia membawa kesan pada masa hadapan jika disalahgunakan. Semak tetapan privasi anak awda di laman media sosial untuk mengelakkan individu yang tidak dikenali mengakses maklumat peribadi.
Dayang Nomi turut menekankan kepada golongan ibu bapa atau penjaga untuk memastikan anak mereka memahami bahawa jangan sesekali memberikan nama, nombor telefon, alamat emel, kata laluan, alamat, nama sekolah atau gambar tanpa kebenaran. Selain itu, beliau juga menyarankan jangan membalas sesuatu mesej yang berbahaya dan jauhi sikap dari membuka e-mel atau lampiran daripada individu yang tidak dikenali serta berkomunikasi dengan mereka.
“Begitu penting juga, selaku ibu bapa atau penjaga untuk sentiasa mengamalkan komunikasi bersama anak-anak mereka. Biar kanak-kanak tahu untuk melaporkan apa yang dirasakan tidak betul.
“Kanak-kanak seharusnya diberi amaran mengenai bahaya di Internet supaya mereka dapat mengenali kelakuan atau aktiviti yang mencurigakan. Galakkan anak awda bercerita jika berhadapan apa juga masalah di laman web, e-mel atau laman sembang yang membuatkan mereka kurang selesa,” tegasnya lanjut semasa mengakhiri sesi webinar, baru-baru ini.