Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Peranan ibu dalam sebuah keluarga amatlah penting dalam membentuk keharmonian dan kelestarian yang berpanjangan agar anak-anak dapat dididik dengan sahsiah jati diri anak-anak dalam usaha mengelak remaja terjebak dengan masalah gejala sosial.
Sehubungan itu, bagi mendukung Pelan Tindakan Keluarga melalui Jawatankuasa Khas Institusi Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Beribi telah mengadakan program ceramah bertajuk ‘Peranan Ibu Dalam Melestarikan Keharmonian Kekeluargaan Islam’ yang disampaikan oleh Da’ie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei, Dayang Zati Hanani binti Dato Seri Setia Haji Rajid.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Hajah Siti Norishan binti Haji Abdul Gafor, isteri Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Dengan adanya ceramah yang disampaikan itu, ia diharap dapat memberi panduan kepada para Muslimah akan peranan mereka sebagai ibu dalam membimbing anak-anak tanpa mengira usia, sehingga akhirnya dapat membina hubungan keluarga yang sentiasa
harmoni dan bahagia, berlandaskan ajaran agama Islam.
Objektif acara berkenaan adalah untuk meningkatkan sistem jaringan keselamatan dan sokongan sosial keluarga yang kukuh dan berdaya tahan.
Selain itu, ia juga diadakan untuk mengukuhkan kefahaman akan kepentingan membina keluarga berlandaskan ajaran Islam bagi membentuk kehidupan yang sakinah, mawaddah wa rahmah.
Di samping itu, untuk memberi pengetahuan bagaimana membimbing ahli-ahli keluarga agar kehidupan berkeluarga sentiasa dalam keadaan harmoni dan berada di landasan yang diredai Allah SWT.


