KUALA LUMPUR – Pengambilan makanan tambahan probiotik yang dikenali sebagai bakteria baik untuk usus, semakin mendapat tempat dalam kalangan mereka yang mahu menurunkan berat badan.
Namun, benarkah pengambilan makanan tambahan dalam bentuk kapsul, cecair atau serbuk ini, yang mudah didapati di pasaran dalam talian serta sering dipromosikan di media sosial, mampu mengurangkan berat badan?
Perunding Pakar Gastroenterologi dan Hepatologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Deborah Chew Chia Hsin berkata walaupun probiotik boleh mempengaruhi mikrobiota usus, iaitu mikroorganisma yang memainkan peranan dalam metabolisme dan penghadaman lemak, kesannya terhadap penurunan berat badan masih belum terbukti secara jelas.
Menurutnya, kajian menunjukkan individu yang mengalami masalah berat badan berlebihan, obesiti dan diabetes mempunyai keadaan yang dikenali sebagai disbiosis usus, iaitu kekurangan mikrobiota usus yang sihat dengan peratusan bakteria jahat seperti Firmicutes lebih tinggi berbanding bakteria baik seperti Bacteroides.
“Secara umum, usus yang sihat sepatutnya mempunyai lebih banyak bakteria baik berbanding bakteria jahat. Namun, persoalannya apakah ketidakseimbangan mikrobiota ini menjadi punca obesiti atau obesiti itu sendiri yang menyebabkan ketidakseimbangan mikrobiota? Hal ini masih dibincangkan oleh penyelidik,” katanya kepada Bernama.
Dr Chew berkata beberapa kajian yang dijalankan bagi mengkaji peranan probiotik dalam pengurusan berat badan memberikan keputusan bercampur dengan sesetengah kajian mendapati pengambilan probiotik tidak memberikan manfaat, manakala kajian lain menunjukkan terdapat sedikit hingga sederhana manfaat dalam membantu menurunkan berat badan.
Jelasnya, pengambilan probiotik hanya berkesan jika sumplemen tersebut mengandungi strain bakteria yang tepat seperti seperti Lactobacillus dan Bifidobacterium, selain disimpan dengan cara betul.
“Probiotik mengandungi bakteria hidup dan jika disimpan dalam suhu yang terlalu panas, iaitu melebihi 25°C, bakteria ini mungkin tidak dapat bertahan. Jika ini berlaku, pesakit yang mengambil probiotik tidak akan mendapat manfaat yang diharapkan,” katanya yang menekankan pengambilan dos disarankan bagi mengelakkan kesan sampingan seperti kembung perut.
Pegawai dietetik Universiti Putra Malaysia Jazlina Syahrul pula berkata walaupun probiotik berpotensi menyokong metabolisme dan keseimbangan mikrobiota usus, suplemen itu bukan penyelesaian utama atau jalan pintas dalam menurunkan berat badan.
Beliau juga berkata kajian lanjut diperlukan bagi membuktikan keberkesanan probiotik dalam pengurusan berat badan.
“Secara keseluruhan, probiotik boleh menyumbang kepada penurunan berat badan, tetapi kesannya adalah lebih kecil dan perlahan berbanding dengan pendekatan intervensi gaya hidup seperti diet dan senaman.
“Walaupun terdapat bukti awal, probiotik bukan ‘pil ajaib’ untuk penurunan berat badan. Sebaliknya suplemen ini bertindak sebagai sokongan tambahan, bukanlah pengganti kepada diet seimbang dan senaman yang konsisten,” katanya.
Jazlina menasihati mereka yang masih gagal menurunkan berat badan agar meneliti semula faktor seperti jumlah pengambilan kalori, pola pemakanan, mengoptimumkan senaman selain memastikan tidur yang cukup. – Bernama