Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peranan sains kritikal dalam keselamatan makanan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Dengan penekanan terhadap peranan kritikal sains dan pendekatan yang berasaskan bukti dalam memastikan keselamatan, kualiti dan integriti bekalan makanan, Autoriti Makanan Brunei Darussalam (BDFA) mengadakan Bengkel Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2025 yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Bengkel sehari bersempena sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2025 yang disambut secara global pada setiap 7 Jun, dirasmikan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab, yang juga merupakan ahli Lembaga Pengarah BDFA.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pegawai Teknikal, BDFA, Dr Noraskhin binti Haji Mohd Fadillah menerangkan dengan BDFA terus berkembangan dan mengukuhkan lagi mandatnya, ia kekal teguh dalam komitmennya untuk memajukan dan menjaga keselamatan makanan bagi manfaat orang ramai.

    Selaras dengan komitmen berkenaan, tambahnya, BDFA menganjurkan siri inisiatif penglibatan pihak berkepentingan dan orang ramai untuk memperingati Hari Keselamatan Makanan Sedunia.

    Di samping itu, BDFA juga terlibat secara aktif dalam pameran interaktif dan bermaklumat semasa Pesta Pengguna dan Ekspo Perdagangan, baru-baru ini, di mana ia menyediakan peluang untuk mengetengahkan inisiatif dan program keselamatan makanan yang sedang dilaksanakan.

    Pada akhir majlis perasmian bengkel itu, Hajah Tutiaty, para jemputan dan peserta berpeluang menyaksikan pameran kecil yang memaparkan peranan dan perkhidmatan yang disediakan oleh BDFA dan Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan dalam mempromosikan serta memberikan sokongan kepada industri makanan tempatan.

    Dengan membawa tema, Keselamatan Makanan: Sains Beraksi, Bengkel Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2025 bertujuan untuk mengumpulkan pihak-pihak yang berkepentingan dalam industri makanan sama ada mereka yang terlibat dalam pengimportan, pembuatan atau penjualan makanan, dalam menyediakan makanan yang berkualiti serta pada masa yang sama, memelihara kesihatan dan keselamatan pengguna.

    Bengkel itu bertindak sebagai sebuah arena yang bernilai bagi penglibatan bermakna dengan agensi-agensi kerajaan, pihak berkepentingan, industri makanan dan rakan kongsi dalam sektor makanan.

    Ia bermatlamat untuk memberikan penekanan terhadap peranan kritikal sains dan pendekatan-pendekatan yang berasaskan bukti dalam memastikan keselamatan, kualiti dan integriti bekalan makanan di mana tanggungjawab bersama berkenaan memerlukan kerjasama, inovasi dan kewaspadaan berterusan.

    Hajah Tutiaty bergambar ramai semasa Bengkel Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2025 yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, kelmarin. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Hajah Tutiaty menyaksikan dan diberikan penerangan mengenai peranan dan perkhidmatan BDFA dalam pameran kecil yang diadakan. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Antara yang menghadiri majlis perasmian bengkel berkenaan. – GAMBAR OLEH JAMES KON

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda