Wednesday, December 18, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peranan Sukarelawan penting kukuhkan perpaduan

    Oleh Sim Y.H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    Sukarelawan memainkan peranan yang penting dalam mengukuhkan hubungan sesama masyarakat di mana mereka bukan sahaja dilihat sebagai mengisikan masa lapang tetapi wadah bagi menyebarkan semangat perpaduan.

    Antara peranan yang dapat disaksikan adalah semasa penularan wabak COVID, di mana semangat perpaduan daripada seluruh masyarakat dalam sama-sama membantu kerajaan mengekang penularan wabak berkenaan.

    Lebih daripada 10,000 orang sukarelawan daripada pelbagai agensi telah turun padang menghulurkan bantuan sama ada tenaga, material dan juga buah fikiran melalui pendekatan senegara.

    Dalam hubungan itu, Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa yang diraikan pada setiap 5 Disember, memberikan peluang kepada negara-negara ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) termasuk Negara Brunei Darussalam untuk menghargai dan meraikan sumbangan usaha murni para sukarelawan dengan mengetengahkan tema, Perpaduan melalui Kerja Sukarela.

    Hari Sukarelawan Antarabangsa dilihat sebagai peluang unik bagi para sukarelawan dan organisasi untuk meraikan usaha, berkongsi dan mempromosi kerja mereka dalam kalangan komuniti, badan-badan bukan kerajaan, agensi-agensi swasta dan agensi-agensi kerajaan.

    Awang Mohamad Ali Noh semasa ditemui Media Permata.
    Antara belia yang ikut serta dalam Kempen Hari Bertindak 2022 pada 11 Disember lalu.
    Antara aktiviti yang diadakan semasa Kempen Hari Bertindak 2022 adalah mewarna grafiti tapak permainan di sekitar Skate Park Daerah Tutong.
    Persembahan pencak silat semasa majlis pelancaran Kempen Hari Bertindak sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa 2022.

    Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam usaha menyokong Sambutan Hari Kesukarelawan Antarabangsa telah memperkenalkan inisiatif Kempen Hari Bertindak sebagai usaha berterusan untuk menggalakkan masyarakat khususnya para belia bergiat aktif dalam bidang sukarela.

    Kempen Hari Bertindak mula diperkenalkan pada 2015 sebagai usaha untuk mengumpulkan serta menggerakkan para sukarelawan, penggiat aktiviti sukarela serta badan-badan bukan kerajaan dari seluruh daerah dalam sama-sama menyertai serta melaksanakan aktiviti sukarela.

    Semenjak kempen itu diperkenalkan, hampir 1,000 aktiviti di bawah sembilan kluster yang merangkumi bidang kerohanian dan keagamaan, masyarakat, bencana alam, keusahawanan sosial, seni dan budaya, pendidikan inklusif, hak asasi haiwan, inisiatif hijau serta pembangunan belia diadakan, di mana ia telah menyaksikan kira-kira 20,000 orang sukarela menyertai kempen berkenaan.

    Bagi Kempen Hari Bertindak sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa 2022, yang diadakan secara serentak di keempat-empat daerah bermula 11 Disember 2022 hingga 31 Januari 2023 di mana lebih daripada 40 program sukarela telah diatur, namun pendaftaran bagi mengadakan program masih dibukakan sehingga 31 Januari 2023.

    Semasa Kempen Hari Bertindak yang diadakan di Bangunan Padang dan Balapan Kompleks Sukan Tutong pada 11 Disember lalu, Pekerja Kanan Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan, Awang Mohamad Ali Noh bin Haji Masri mengalu-alukan masyarakat khususnya golongan belia untuk sama-sama mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti sukarelawan yang diadakan sepanjang kempen selama 51 hari berkenaan.

    Beliau turut mengalu-alukan agensi-agensi kerajaan dan swasta, persatuan dan pergerakan belia dan sukan untuk mengadakan sebarang aktiviti atau projek sukarelawan di bawah sembilan kluster berkenaan bagi mendaftar serta melaksanakan aktiviti masing-masing sepanjang tempoh kempen itu diadakan.

    Awang Mohamad Ali Noh mendedahkan bahawa sehingga 11 Disember, lebih daripada 50 organisasi dan agensi ikut serta dalam kempen berkenaan bagi melaksanakan projek-projek yang akan diadakan sehingga 2023.

    Mengulas mengenai penyertaan dalam aktiviti-aktiviti sukarelawan yang dikendalikan, Timbalan Yang Dipertua Majlis Belia Brunei, Dayang Nurul Izyan Anver menyatakan bahawa beliau telah menyertai lebih 30 acara yang dikendalikan menerusi aplikasi Mengalinga bagi meningkatkan kesedaran serta mengongsi acara atau aktiviti yang boleh disertai sebagai peserta atau sukarelawan.

    Pada masa yang sama, penyertaannya bersama-sama ahli Majlis Belia Brunei yang lain, tambahnya, dapat membantu menjana kesedaran dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan belia untuk menggunakan aplikasi Mengalinga sebagai satu platform yang amat baik bagi dimanfaatkan sukarelawan.

    Menurut Dayang Nurul Izyan lagi melalui penyertaan belia dalam aktiviti atau acara sukarela itu, mereka boleh mempelajari dan memahami bahawa kesukarelawanan bukan sahaja menyumbang tenaga tetapi berkongsi buah fikiran mereka.

    Di samping itu, mereka juga boleh memahami hasrat sebenar penganjuran aktiviti sukarela iaitu supaya para sukarelawan dapat menyumbang bakti kembali kepada masyarakat dan negara. Mereka yang ingin untuk mengetahui sebarang maklumat pendaftaran mengenai aktiviti-aktiviti Kempen Hari Bertindak, boleh didapatkan melalui aplikasi Mengalinga serta Instagram @jbs.bn dan @dayofaction.brunei.

    Sejak aplikasi Mengalinga di lancarkan semasa Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-16 pada 7 Ogos 2021, sehingga 11 Disember 2022, seramai 1,838 orang individu dan 137 buah pertubuhan telah berdaftar dalam aplikasi berkenaan dan lebih 300 buah projek telah didaftarkan dalam mencari sukarelawan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda