Saturday, December 28, 2024
21.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Peranan talian anak, kebajikan mantapkan sistem pemantauan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Berpegang kepada slogan ‘Kami Mendangar, Kami Memeduli’, Talian Anak Negara Aset Kitani (ANAK) 121 dan Talian Kebajikan 141 di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) merupakan platform untuk masyarakat membuat aduan dan juga memantapkan lagi sistem pemantauan agar dapat memberikan intervensi atau bantuan secepat mungkin.

    Semua pihak perlu berganding bahu demi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat seperti hak kanak-kanak dan golongan yang memerlukan dan untuk memastikan kesejahteraan mereka sentiasa dilindungi dari semasa ke semasa di negara ini.

    Perkara tersebut dikongsikan oleh Penyelia Pusat Panggilan Talian ANAK 121 dan Talian Kebajikan 141, JAPEM, Awang Muhammad Zamri bin Haji Meludin semasa ditemui penulis dalam program pemberigaan mengenai Talian Kebajikan 141 dan Talian ANAK 121 oleh JAPEM semasa berlangsungnya Riadah Berbasikal Semangat Hari Kebangsaan 2023 di Taman Haji Sir Mu-da Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara, baru-baru ini.

    Menyentuh lanjut mengenai Talian ANAK 121, Awang Muhammad Zamri menerangkan talian berkenaan merupakan talian bantuan kanak-kanak bebas tol yang beroperasi bagi kanak-kanak di negara ini.

    Dirasmikan pada 1 Oktober 2019, ia merupakan inisiatif kerjasama antara JAPEM, KKBS bersama Telekom Brunei Berhad (TelBru) yang kini dikenali sebagai imagine.

    Awang Muhammad Zamri (hujung kanan) bergambar bersama kakitangan JAPEM semasa program berkenaan.
    Antara risalah dan penanda buku yang disediakan bagi para pengunjung petak pameran semasa program pemberigaan mengenai Talian ANAK 121 dan Talian Kebajikan 141, JAPEM.
    Sesi pemberigaan mengenai Talian Kebajikan 141 dan Talian ANAK 121 oleh JAPEM semasa berlangsungnya Riadah Berbasikal Semangat Hari Kebangsaan 2023 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara, baru-baru ini.

    Sehubungan itu, antara objektif talian berkenaan adalah sebagai saluran komunikasi yang khusus bagi kanak-kanak yang mungkin berada dalam kesusahan serta memerlukan penjagaan dan perlindungan daripada penderaan yang dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga, pengabaian, eksploitasi, penyalahgunaan dadah, buli, rasa bunuh diri atau kesulitan dalam masalah keluarga.

    Talian ini merupakan satu sistem pusat panggilan khas supaya golongan kanak-kanak yang mengalami masalah berkenaan dapat disalurkan kepada para kaunselor terlatih bagi meminta bantuan perkhidmatan kecemasan yang berkaitan.

    Awang Muhammad Zamri turut menambah bahawa aduan melalui talian dikendalikan oleh ejen panggilan atau pekerja sosial yang telah menjalani latihan khusus kaunseling, yang mana kepakaran mereka dalam mengendalikan hal demikian memerlukan kebijaksanaan supaya mereka tidak mempunyai perasaan ragu-ragu untuk menjawab panggilan tersebut.

    Jadilah contoh terbaik

    Berbicara seketika mengenai peranan ibu bapa atau penjaga dalam membesarkan anak-anak, Awang Muhammad Zamri menyatakan dalam proses pembesaran anak-anak, para ibu bapa atau penjaga perlu menjadi contoh terbaik di mana sikap mereka boleh mempengaruhi tingkah laku anak-anak mereka.

    Oleh yang demikian, kedua-dua ibu bapa berperanan mengasuh dan mendidik anak-anak secara bersama.

    Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa atau penjaga ialah mewujudkan interaksi sosial secara dua hala dan harmoni dengan anak-anak mereka.

    Selain itu, binalah suasana rumah dan persekitaran yang penuh aman dan damai.

    “Apa yang perlu ditekankan juga ialah kehidupan berkeluarga perlu diiringi dengan nilai-nilai agama dan nilai-nilai murni seperti saling menghormati dan bekerjasama dalam kehidupan sehari-hari,” tambahnya.

    Awang Muhammad Zamri turut menambah bahawa tekanan hidup dan keadaan semasa kadang-kadang datang tanpa diduga sehingga menyebabkan kita merasa marah dan geram namun satu hal yang perlu diingat bersama, jangan sesekali melepaskan marah kepada anak-anak.

    Alangkah baiknya jika kita sentiasa mengambil langkah seperti sentiasa beristighfar dan bertenang.

    “Melalui kaedah Whole of Nation, pihak kementerian menerusi jabatan kami sentiasa berjuang demi memastikan kanak-kanak sentiasa dalam keadaan selamat dan hak-hak mere-ka terpelihara, dan mengukuhkan ekosistem perlindungan bukan sahaja golongan kanak-kanak bahkan juga sokongan untuk golongan terdedah dan kurang bernasib baik.

    “Salah satu langkah progresif dan proaktif dilaksanakan pada masa ini ialah dengan mengadakan program pemberigaan mengenai Talian ANAK 121 dan Talian Kebajikan 141 ini dalam lingkungan pelajar sekolah di negara ini,” ujarnya di akhir pertemuan bersama Media Permata.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda