Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Keamanan dan kesentosaan serta kestabilan hidup rakyat merupakan harapan dan hasrat setiap negara, baik negara kecil mahupun negara besar, sama ada negara Islam atau bukan Islam, keseluruhannya mengharapkan keamanan dan kemakmuran.
Inilah juga yang menjadi impian dan idaman Negara Brunei Darussalam dan ke arah mencapai dan merealisasikan maksud tersebut adalah dengan penubuhan pasukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang kuat dan lengkap yang bukan sahaja dari segi peralatan yang serba canggih dan moden, tetapi juga kuat dari segi jasmani dan rohani.
Selain itu, kekuatan iman juga amat penting, kerana sejarah silam juga telah membuktikan bahawa kekuatan dan kemenangan sebenar tentera Islam bukan terletak pada keramaian tentera dan kecanggihan peralatan perang, tetapi berpunca daripada kekuatan iman, keikhlasan dan kejujuran, taat kepada ketua dan yang penting berjuang kerana Allah SWT.
Di dalam Islam, tegas khatib, wujudnya pasukan bersenjata bukanlah niat untuk melakukan pencerobohan dan penganiayaan terhadap sesiapa tapi ia digunakan bagi mempertahankan diri dan negara daripada ancaman pengkhianatan dan pencerobohan.
“Malah agama Islam melarang umatnya daripada memulakan sebarang peperangan tanpa sebab-sebab yang munasabah dan kukuh seperti diperangi dan sebagainya,” tegas khatib.

Di sinilah berlaku salah faham sehingga timbul tuduhan dan tanggapan sinis yang mengatakan Islam itu disebarkan dengan kekerasan, kezaliman dan Islam itu menggalakkan peperangan, mereka mendakwa Islam tersebar dengan peperangan.
Khatib seterusnya menegaskan, bagi membetulkan salah faham yang berlaku itu perlu diketahui dan difahami prinsip sebenar peranan dalam Islam, Islam tidak akan memerangi sesiapa tapi berjihad (berjuang) jika diperangi.
Peperangan dalam Islam tidak boleh berlaku dan tidak boleh dicetuskan, tambahnya, melainkan atas sebab-sebab tertentu seperti mempertahankan diri dan menentang pencerobohan, mempertahankan diri daripada penganiayaan dan kezaliman dan menegakkan keadilan.
Malah Islam juga melarang peperangan untuk tujuan meluaskan kuasa, pengaruh atau jajah takluk, begitu juga melarang peperangan membalas dendam sehingga membuat permusuhan, kehancuran dan pemusnahan.
Khatib seterusnya menambah, Islam membolehkan jihad bersenjata dilakukan apabila orang Islam diperangi, dizalimi, dihalau dari kampung halaman dan rumah mereka, harta dirampas, ditegah daripada beriman kepada Allah dan berlaku pencerobohan terhadap masjid.
“Islam mengharuskan perang, apabila dalam keadaan terpaksa bagi mempertahan diri, menegakkan keadilan dan mempertahankan akidah”.
Islam juga menggariskan batas-batas yang perlu dipatuhi dan diikuti ketika perang, jika musuh ingin berdamai maka orang Islam wajib menghentikan peperangan.
Orang Islam diperintahkan supaya tidak melakukan permusuhan dan mencabul hak orang lain, peperangan bukan cara hidup orang Islam, tetapi peperangan adalah pilihan terakhir setelah tidak ada jalan penyelesaian.
Islam adalah agama keamanan dan menuntut supaya setiap umatnya berusaha ke arah keamanan tanpa mengira agama, bangsa dan negara selagi kehormatan agama Islam dan keamanan orang Islam terjamin dan tidak dicabuli.
“Tugas sebagai tentera adalah amat mulia, tugas yang mereka pikul amat besar ganjarannya, apatah lagi jika disertai dengan niat ikhlas kerana Allah,” jelasnya.
Khatib seterusnya menambah, jika sekiranya ditakdirnya gugur dalam berjuang menentang musuh kerana negara dan mempertahankan kesucian agama Islam, gugurnya adalah mati syahid, pada hakikatnya sesiapa yang terkorban dalam membela agama, mereka tidak mati tapi mereka hidup dengan keadaan yang istimewa di sisi Allah SWT.
Semangat perwira seharusnya bukan hanya ada pada tentera tetapi perlu ada pada semua lapisan masyarakat kerana negara memerlukan rakyat yang mahu berjuang dan berkorban bagi mempertahankan negara.