Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh telah menyampaikan ucapan melalui video prarakaman semasa Sidang Kemuncak Pemimpin Wanita ASEAN ke-3 dengan tema Memperkukuh Ekonomi Penjagaan dan Daya Tahan ke arah Komuniti ASEAN Pasca 2025 yang diadakan di Vientiane, Laos pada 23 Ogos.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menekankan komitmen Negara Brunei Darussalam untuk meningkatkan sokongan penjagaan melalui inisiatif seperti Elaun Penyedia Penjagaan, yang diperkenalkan pada Oktober 2021.
Inisiatif itu bertujuan meringankan tanggungjawab penjaga, memastikan kualiti penjagaan yang lebih tinggi untuk mereka yang memerlukan.
Di samping itu, Yang Berhormat Datin juga menekankan kepentingan melabur dalam infrastruktur perkhidmatan penjagaan sosial, termasuk pembangunan rangka kerja seperti Rangka Kerja Komprehensif ASEAN mengenai Ekonomi Penjagaan, untuk mengurangkan kerja tanpa gaji.
Sukarelawan Brunei Darussalam memainkan peranan penting dalam menyokong kerja penjagaan, merapatkan jurang dalam sistem penjagaan formal dan memberikan sokongan kepada individu dan komuniti.
Yang Berhormat Datin seterusnya menambah pengiktirafan wanita dalam ekonomi penjagaan, keperluan dalam mengiktiraf sumbangan dan potensi mereka adalah penting bagi membina ASEAN yang lebih kukuh, penyayang, produktif dan mampan.
Yang Berhormat Datin merakamkan penghargaan kepada sidang kemuncak berkenaan atas sokongan berterusan terhadap Rangka Kerja Komprehensif ASEAN mengenai Ekonomi Penjagaan (ACFCE), yang dirangka semasa Brunei Darussalam mempengerusikan ASEAN pada 2021 serta mengalu-alukan kemajuan ke arah Deklarasi ASEAN mengenai Memperkukuh Ekonomi Penjagaan dan Memupuk Daya Tahan ke arah Komuniti ASEAN Pasca 2025.
Sidang kemuncak itu menekankan peranan penting, potensi serta kekuatan pemimpin wanita dan semua wanita di seluruh ASEAN dalam membentuk masa depan rantau ini.