PARIS, 4 JUN – Perancis berkata hari ini ia tidak akan mengadakan perarakan tentera Hari Bastille disebabkan norma penjarakan sosial, sebaliknya mengganti acara dengan satu upacara untuk memberikan penghormatan kepada pekerja kesihatan yang berjuang memerangi pandemik koronavirus.
Perarakan tentera dan pameran kelengkapan tentera di Champs-Elysees yang berlangsung setiap 14 Julai, akan melihat acara yang lebih kecil di Place de la Concorde tahun ini, di mana perarakan biasa-nya berakhir, kata pejabat presiden.
Perarakan tahunan yang menandakan serangan kubu Bastille pada 14 Julai 1789 di Paris semasa Revolusi Perancis, telah diadakan di Champs-Elysees sejak Perang Dunia Pertama.
Ia bermula di Arc de Triomphe, monumen didirikan untuk mereka yang telah bertempur untuk Perancis, ke Place de la Concorde, di mana Raja Louis XVI dipancung kepala pada 1793 dalam revolusi yang mengguling kerajaan berperlembagaan Perancis.
Tahun ini, dataran itu akan menganjurkan acara tentera dengan 2,000 peserta dan 2,500 tetamu, yang akan berkumpul dan mengamalkan penjarakan sosial yang ketat.
Ia termasuk acara kemuncak – terbang lintas hormat – untuk menghormati kakitangan perubatan dan semua mereka yang ‘dikerah untuk membendung virus,” umum istana presiden Elysee.
Acara tersebut kemungkinan tidak akan dibuka kepada orang ramai, walaupun keputusan ini mungkin dikaji semula sekiranya situasi kesihatan bertambah baik sebelum itu. – AFP
