PARIS, 7 JUN – Pihak berkuasa Kawal Selia Persaingan Perancis telah mendenda Google sebanyak 220 juta euro (AS$267 juta) hari ini selepas mendapatinya menyokong perkhidmatannya kerana meletakkan iklan dalam talian untuk mendapatkan keuntungan daripada para pesaingnya, ketika syarikat gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) itu berdepan tekanan memuncak di Eropah.
Penalti itu adalah sebahagian daripada persetujuan yang dicapai bersama tiga kumpulan media – News Corp, Le Figaro (akhbar harian Perancis) dan Groupe Rossel (Belgium) – menuduh Google pada 2019 menyalahgunakan kedudukan dengan mendominasi pasaran berhubung iklan jualan dalam laman web dan aplikasi mereka.
Presiden Kawal Selia Persaingan Perancis, Isabelle de Silva, mengesahkan Google memberikan layanan ‘pilih kasih’ kepada perkhidmatan pembidaan inventorinya, AdX dan Doubleclick Ad Exchange.
“Ini keputusan pertama kali seumpamanya di dunia untuk meneliti proses algoritma kompleks, demi menentukan bidaan bagi memaparkan iklan secara dalam talian,” katanya.
Kumpulan media yang berhasrat menjual ruang iklan pada laman internet atau aplikasi mudah alih menggunakan pentas pesaing lazimnya berdepan isu ketidakadilan dalam perkhidmatan Google kerana perlu melalui pelbagai kaedah.
Contohnya, Doubleclick didapati memperuntukkan kadar komisen jualan yang berbeza, bersandarkan sebut harga oleh penyedia pengiklanan.
Pada masa sama, Google menyediakan AdX pentas sampingan (SSP) untuk memberikan layanan ‘berbeza’ kepada tawaran dibuat oleh Doubleclick, sekali gus menekan pesaing lain seperti Xandr atau Index Exchange.
“Amalan ini sangat serius kerana mereka menindas pesaing Google dalam pasaran SSP, selain penyunting laman web dan aplikasi mudah alih,” kata pihak berkuasa berkenaan dalam kenyataan. – AFP
