Perancis dibelenggu bantahan lagi

PARIS, 10 DIS – Kakitangan lapangan terbang Perancis, guru dan pekerja lain menyertai bantahan besar-besaran hari ini yang memasuki hari keenam ketika kesatuan meningkatkan tekanan ke atas kerajaan supaya melakukan perubahan terhadap sistem persaraan kebangsaan.

Bantahan yang paling teruk menjejaskan ibu kota ini dengan 35 peratus guru menyertainya, berbanding sekitar 12.5 peratus di seluruh negara, menurut Menteri Pendidikan Jean-Michel Blanquer.

Sementara itu, pengangkutan awam di bandar ini hampir lumpuh dengan hanya dua daripada 16 jaringan metro beroperasi seperti biasa, sembilan ditutup sepenuhnya dan perkhidmatan kereta api pinggir bandar turut tergendala.

Mogok pekerja itu, turut menjejaskan perkhidmatan kereta api bandar dan memaksa pembatalan puluhan penerbangan, memberi isyarat pertunjukan kekuatan kesatuan terbesar sejak Presiden Emmanuel Macron berkuasa pada 2017, dengan ikrar memotong perbelanjaan awam dan menjadikan ekonomi lebih kompetitif.

Ketua perkhidmatan kereta api komuter ibu kota ini, Alain Krakovitch memberi amaran hari ini, beliau menjangka huru-hara ‘berterusan sehingga hujung minggu’ namun sesetengah pemimpin buruh berikrar untuk berjuang sehingga Krismas.

“Pencen adalah punca terhadap perasaan tidak puas hati,” kata pemimpin tegar kesatuan CGT, Philippe Martinez kepada saluran televisyen France 2. – AFP

Orang awam mengambil bahagian dalam demonstrasi di Rennes kelmarin sebagai sebahagian daripada mogok besar-besaran hari keenam berhubung pelan kerajaan untuk membaikpulih sistem pencen. – AFP