PRAGUE, 2 NOV – Juara Perancis mencatatkan kekalahan di tangan Kanada dalam pertemuan pembukaan di kejohanan akhir Piala Billie Jean King, yang julung kali diadakan, di Prague semalam.
Juara Piala Fed 2019 dan pilihan utama perlu menewaskan pasukan Rusia esok untuk mengekalkan harapan mereka untuk meneruskan perlawanan play-off.
Belgium, Sepanyol dan Republik Czech memulakan kejohanan dengan kemenangan, memastikan kelebihan menjelang perlawanan kedua dan terakhir dalam kumpulan tiga ahli.
Fions Ferro dari Perancis kehilangan pembukaan rubber kepada pemain nombor 353 dunia, Francoise Abanda 6-4, 4-6, 4-6.
Alize Cornet menyamakan kedudukan dengan menewaskan Rebecca Marino 6-4, 7-6 (7/5) tetapi kemudian tewas beregu penentu bersama Clara Burel 3-6, 6-7 (6/8) di ta-ngan Gabriela Dabrowski dan Marino.
Kanada merupakan tambahan lewat ke dalam kejohanan tersebut, menggantikan Hungary selepas Budapest menyerahkan hak penganjuran kepada Prague.
“Untuk menewaskan pemain nombor satu itu jelas luar biasa dan saya fikir kita patut berbangga dengan diri kita sendiri,” kata Marino selepas beregu.
“Sebagai satu pasukan kami bersatu dan berjuang dengan penuh semangat,” tambahnya. – AFP
