Friday, April 25, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perancis gagal lindungi hak mangsa rogol

    STRASBOURG, 24 APRIL – Sebuah mahkamah tertinggi Eropah hari ini telah mengecam Perancis kerana gagal untuk melindungi hak tiga remaja perempuan yang telah melaporkan kejadian rogol, ketika negara itu sedang mempertimbangkan pindaan terhadap definisi jenayah rogol dalam undang-undang jenayahnya.

    Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) mendapati “pihak penyiasat dan mahkamah tempatan telah gagal melindungi untuk pemohon, yang telah membuat aduan berkaitan kejadian rogol dan ketika itu mereka hanya berusia 13, 14 dan 16 tahun, dengan cara yang mencukupi.”

    Mahkamah turut menyatakan sistem kehakiman Perancis tidak “mengambil kira secukupnya, dalam menilai sama ada pemohon memahami dan mampu memberikan persetujuan, situasi sangat terdedah yang mereka alami”.

    Dalam salah satu kes, seorang gadis menuduh beberapa anggota bomba merogolnya ketika berusia di bawah 15 tahun.

    Mangsa, yang dikenali dalam media Perancis sebagai ‘Julie’, kini mengalami kecacatan sebanyak 80 peratus selepas beberapa cubaan bunuh diri.

    Gambar fail Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah di Strasbourg, Perancis, pada 27 September 2023. –AP

    Mangsa kedua pula menuduh dua lelaki yang berusia 21 dan 29 tahun telah merogolnya ketika dia masih berusia 14 tahun.

    Manakala mangsa ketiga melaporkan seorang lelaki berusia 18 tahun telah merogolnya di rumah ketika dia berusia 16 tahun.

    Selepas perbicaraan panjang, pada November tahun lalu, mahkamah Perancis menjatuhkan hukuman penjara tertangguh ke atas dua anggota bomba yang terlibat dalam kes pertama.

    Keputusan itu dibuat selepas keluarga mangsa memfailkan permohonan kepada ECHR.

    Dalam dua kes lain, tertuduh telah dibebaskan dan prosiding telah dihentikan.

    Dalam ketiga-tiga kes, ECHR menyatakan “negara Perancis telah gagal menunaikan tanggungjawabnya untuk menguatkuasakan sistem undang-undang jenayah yang mampu menghukum perbuatan seksual tanpa persetujuan”. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda