PARIS, 4 DIS – Perancis hari ini bersedia menghadapi salah satu mogok terbesar di seluruh negara dalam beberapa tahun dengan mogok oleh pekerja pengangkutan dan guru dijangka melumpuhkan negara dalam konfrontasi di antara Presiden Emmanuel Macron dan kesatuan.
Kira-kira 90 peratus daripada kereta api berkelajuan tinggi telah dihentikan, kebanyakan metro Paris akan ditutup, ratusan penerbangan dibatalkan dan majoriti sekolah ditutup dalam mogok esok berhubung pembaharuan pencen yang dirancang oleh Macron.
Mogok itu, yang terbuka dan mungkin berlangsung beberapa hari, telah disamakan di antara pergelutan di antara kerajaan dan kesatuan pada November-Disember 1995 apabila negara dilumpuhkan selama tiga minggu.
Pekerja di seluruh Perancis perlu bekerja dari rumah atau mencari cara baharu untuk mengakses pejabat mereka dengan menggunakan perkhidmatan perkongsian kereta, sewa basikal atau e-skuter.
Mogok akan menjadi ujian besar mengenai sama ada Macron, yang berkuasa berdasarkan janji untuk memperbaharui Perancis, mempunyai pengaruh politik untuk mencapai wawasannya.
“Ia akan menjadi ‘Black Thursday’ dalam pengangkutan,” ramal akhbar Le Parisien.
Mengenai metro Paris, 11 daripada 16 sistem kereta api bandar akan ditutup sepenuhnya esok, dengan hanya dua sistem automatik yang beroperasi seperti biasa.
Operator kereta api SNCF berkata 90 peratus daripada kereta api berkelajuan tinggi TGV serta kereta api serantau di seluruh negara akan dibatalkan, sementara perkhidmatan antarabangsa seperti Eurostar dan Thalys akan terjejas teruk.
Menteri Pendidikan Jean-Michel Blanquer berkata beliau menjangka 55 peratus daripada guru akan mogok di seluruh negara esok, dengan 78 peratus mogok di Paris, dan 30 peratus sekolah dibuka.
Dua demonstrasi dirancang diadakan di Paris yang akan menumpu di Place de la Nation, dengan pegawai mengarahkan perniagaan Paris di sepanjang jalan ditutup esok. – AFP