RIYADH, 25 JULAI – Arab Saudi dan negara-negara Teluk hari ini menyambut baik pengumuman Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang menyatakan Perancis akan mengiktiraf negara Palestin, serta menggesa negara lain agar turut mengambil langkah serupa.
Perancis menjadi negara pertama dalam kumpulan G7 yang mengiktiraf Palestin, walaupun beberapa anggota Kesatuan Eropah (EU) lain telah berbuat demikian susulan perang Gaza yang tercetus pada Oktober 2023.
Kementerian Luar Arab Saudi menyifatkan keputusan tersebut sebagai bersejarah dan menegaskan ia memperkukuh konsensus masyarakat antarabangsa terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan menubuhkan negara yang merdeka.
Beliau menggesa negara-negara lain yang masih belum mengiktiraf Negara Palestin untuk mengambil langkah positif yang sama.
Macron dalam kenyataan kelmarin berkata pengiktirafan rasmi terhadap Palestin akan diumumkan secara rasmi pada sesi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada September akan datang.

Satu mesyuarat peringkat menteri yang dipengerusikan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi turut dijadualkan berlangsung hujung bulan ini bagi membincangkan penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin.
Qatar sebagai perantara dalam rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas, turut memuji langkah Perancis itu.
Kementerian Luar Qatar menyatakan tindakan tersebut merupakan sokongan besar terhadap hak sah rakyat Palestin dan berupaya membuka laluan ke arah keamanan yang adil serta menyeluruh di rantau itu.
Kuwait pula menyifatkan pengiktirafan itu sebagai ‘langkah penting’.
Manakala Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang turut dianggotai Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain dua negara yang mempunyai hubungan rasmi dengan Israel turut menyambut baik keputusan berkenaan. – AFP