PARIS, 29 JUN – Perancis akan menguatkuasakan larangan merokok di pantai, taman, taman awam dan perhentian bas bermula hari ini, menurut kenyataan kerajaan.
Perintah berkenaan, yang diterbitkan dalam warta rasmi kerajaan kelmarin, turut melarang aktiviti merokok di luar perpustakaan, kolam renang dan sekolah, dengan matlamat melindungi kanak-kanak daripada asap rokok pasif.
Perintah itu bagaimanapun tidak menyebut mengenai rokok elektronik. Individu yang melanggar larangan tersebut boleh dikenakan denda sebanyak 135 euro.
“Tembakau mesti dilarang di tempat yang terdapat kanak-kanak,” kata Menteri Kesihatan dan Keluarga, Catherine Vautrin pada Mei lalu, sambil menegaskan ‘hak kanak-kanak untuk menghirup udara bersih’.
Larangan tersebut tidak meliputi teres kafe.
Dianggarkan kira-kira 75,000 orang meninggal dunia setiap tahun di Perancis akibat komplikasi berkaitan tembakau.
Menurut satu tinjauan pendapat baru-baru ini, enam daripada 10 rakyat Perancis (62 peratus) menyokong larangan merokok di tempat awam. – AFP


