Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perancis lancar pas vaksin

    PARIS, 21 JULAI – Orang awam yang ingin mengunjungi pawagam, muzium atau perlawanan sukan di Perancis perlu membuktikan mereka mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 atau ujian negatif terbaharu mulai hari ini ketika negara memperkenalkan sistem pasport vaksin tatkala berdepan peningkatan kes.

    ‘Pas kesihatan’ itu diwajibkan untuk semua acara atau tempat dengan lebih 50 orang, sebelum dilanjutkan kepada restoran, kafe dan pusat membeli-belah besar pada Ogos.

    Kerajaan, yang dijangka memformalkan sistem dengan undang-undang yang sedang diperdebatkan di parlimen sekarang, berharap dapat mengawal gelombang jangkitan keempat dan menggalak penduduk supaya menerima vaksin.

    Menteri Kesihatan Olivier Veran mengingatkan semalam bahawa varian Delta mengakibatkan peningkatan mendadak dalam jangkitan baharu, yang meningkat 150 peratus sejak seminggu pada 18,000 dalam tempoh 24 jam lalu.

    Presiden Emmanuel Macron bertemu dengan menteri hari ini untuk membincangkan krisis kesihatan, dan Perdana Menteri Jean Castex dijangka menyampaikan ucapan di televisyen selepas itu.

    Dengan kes baharu dikesan kebanyakannya di kalangan orang muda tanpa suntikan vaksin, pas kesihatan itu bertujuan menggalak mereka untuk melindungi diri mereka dengan suntikan dan mengelak sekatan seluruh negara yang akan menjejaskan semua penduduk.

    Namun ia berdepan kritikan, malah dari penggubal undang-undang dalam parti Republik Gerakan, kerana didakwa membatas kebebasan awam penduduk yang tidak mempunyai suntikan vaksin dan mewajibkan tempat-tempat memeriksa identiti pengunjung mereka.

    Lokasi yang gagal memeriksa identiti pelanggan mereka berdepan denda 1,500 euro untuk kesalahan pertama, dan denda lebih berat untuk kesalahan seterusnya. – AFP

    Seorang pekerja memeriksa pas kesihatan pelawat dari telefon pintar di pintu masuk taman tema Puy du Fou di Les Epesses, barat Perancis kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda