PARIS, 3 MEI – Kerajaan Perancis berkata kelmarin bahawa mereka akan melanjutkan darurat kesihatan yang dilaksanakan untuk melawan koronavirus selama dua bulan, yang memungkinkan untuk tetap menerapkan langkah-langkah anti-virus yang sedang dijalankan walaupun selepas mengurangkan sebahagian daripada perintah berkurung di negara tersebut.
Sebahagian dari langkah-langkah yang dirancang, sesiapa yang memasuki Perancis, sama ada orang luar atau warganegara Perancis, akan kekal dalam pengasingan diri selama dua minggu, Menteri Kesihatan, Olivier Veran memberitahu sidang media.
Ini juga termasuk ‘penduduk Perancis yang membuat perjalanan keluar dan sesiapa yang ingin pulang’, katanya. Dia tidak menyebutkan sama ada akan ada perbezaan dibuat di antara mereka yang membuat perjalanan dari wilayah lain.
Sesiapa yang tiba dari luar negara dan dijangkiti virus akan diwajibkan oleh undang-undang untuk dikuarantin, katanya. Mereka yang mempunyai gejala semasa dalam pengasingan akan terpaksa menjalani kuarantin. Butiran langkah-langkah tersebut akan dikeluarkan dalam masa beberapa hari.
Walau bagaimanapun, me-reka yang sudah dijangkiti semasa di Perancis, tidak akan dipaksa untuk menjalankan pengasingan diri atau rawatan, kerana mereka menaruh kepercayaan kepada rakyat Perancis untuk mempunyai rasa tanggungjawab, kata Veran.
Sebaik sahaja diluluskan oleh penggubal undang-undang, tempoh darurat akan berakhir sehingga 24 Julai, kata Veran.
Kerajaan telah mengumumkan mengurangkan sekatan secara berperingkat bermula 11 Mei, termasuk membuka semula sekolah-sekolah rendah. – AFP