PARIS, 28 OGOS – Pelajar-pelajar beragama Islam yang memakai abaya di sekolah Perancis dianggap sebagai ‘serangan politik’, kata jurucakap kerajaan kelmarin sambil menjelaskan larangan yang diumumkan ke atas pakaian itu.
Menteri Pendidikan, Gabriel Attal pada Ahad berkata bahawa baju labuh yang berasal dari Timur Tengah itu tidak lagi dibenarkan di sekolah-sekolah apabila penggal baharu bermula minggu depan kerana ia melanggar undang-undang sekular.
Jurucakap kerajaan, Olivier Veran berkata ia ‘jelas sekali’ adalah pakaian keagamaan dan ‘serangan politik, tanda politik’ yang dilihatnya sebagai tindakan ‘mendakwah’ atau cuba memeluk Islam.
“Sekolah adalah sekular. Kami mengatakannya dalam cara yang tenang namun tegas: ia adalah bukan tempat untuk pakaian itu (memakai pakaian keagamaan),” dia memberitahu saluran BFM TV.
Attal kelmarin berkata kerajaan sangat jelas bahawa abaya ‘tidak sepatutnya dipakai di sekolah’.

“Sekolah-sekolah kami sedang diuji. Sejak beberapa bulan kebelakangan, pelanggaran terhadap peraturan-peraturan sekular semakin meningkat, terutamanya berkait dengan pemakaian pakaian keagamaan seperti abaya atau gamis yang dapat dilihat di beberapa buah tempat,” beritahunya kepada wartawan.
Keputusan Attal untuk mengharamkan pemakaian abaya telah mencetuskan perdebatan baharu mengenai peraturan sekular Perancis dan sama ada ia digunakan untuk mendiskriminasi minoriti Islam yang ramai di negara itu.
Undang-undang pada Mac 2004 melarang ‘pemakaian pakaian yang menjurus kepada agama seseorang dan pertalian agama di sekolah’.
Ini termasuk salib bagi orang Kristian, kippa bagi orang Yahudi dan tudung bagi wanita Islam.
Tidak sama seperti tudung, sekolah bergelut untuk menetapkan peraturan bagi pemakaian abaya.
Kerajaan memihak kepada ahli politik sayap kanan yang mendesak pengharaman tersebut, mendakwa ia adalah sebahagian daripada agenda meluas daripada umat Islam untuk menyebarkan agama mereka kepada masyarakat. – AFP