PARIS, 26 JULAI – Parlimen Perancis semalam meluluskan rang undang-undang penggunaan pasport vaksin sebagai antara keperluan utama kehidupan harian dalam usaha memerangi COVID-19.
Keputusan itu dicapai sehari selepas lebih 160,000 penunjuk perasaan membanjiri jalanan Perancis bagi membantah langkah berkenaan sehingga menyaksikan puluhan orang ditahan.
Minggu lalu, Presiden Emmanuel Macron mengarahkan supaya pas kesihatan terbabit – bukti vaksinasi lengkap atau negatif ujian saringan COVID-19 – bakal diperlukan untuk rakyat Perancis mengunjungi tempat seperti panggung wayang atau kelab malam.
Langkah itu bertujuan menjadikan vaksinasi senjata utama melawan COVID-19 yang semakin mengancam dengan varian baharu.
Secara dasar, ia bermakna orang ramai perlu mendapatkan vaksinasi COVID-19 sekiranya mahu kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
Perubahan berkenaan dilaksanakan melalui dekri, namun Parlimen mengadakan sesi rundingan sejak perdebatan pada Selasa lalu bagi menentukan sama ada ia dilanjutkan atau sebaliknya.
Rundingan yang berlangsung selama tiga jam di Parlimen semalam, menyaksikan rang undang-undang itu akhirnya diluluskan dengan majoriti besar – 156 undi menyokong, 60 membantah dan 14 berkecuali.
Bagaimanapun, ia masih perlu diluluskan oleh pihak berkuasa pentadbiran tertinggi Perancis, iaitu Majlis Perlembagaan, sebelum menjadi undang-undang – langkah tambahan yang diminta oleh Perdana Menteri Perancis, Jean Castex. – AFP
