Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Perancis berjaya melayakkan diri ke kelompok 16 terakhir meskipun tewas kepada Tunisia dalam perlawanan peringkat kumpulan D yang berlangsung pada malam kelmarin.
Dengan mengumpul jumlah keseluruhan enam mata menerusi tiga perlawanan, Perancis mara bersama Australia yang juga mengutip jumlah mata yang sama setelah mereka menewaskan Denmark dengan jaringan 1-0.
Sementara itu, jaringan tunggal Tunisia semasa menentang Perancis, yang juga merupakan jaringan tunggal pasukan itu dalam Piala Dunia Qatar, telah dihasilkan oleh Wahbi Khaziri yang terhasil pada minit ke-58 dengan bantuan rakan sepasukannya, A Laidouni.
Walaupun menang melawan Perancis, Tunisia gagal mara ke pusingan kalah mati kerana hanya berjaya mendapat tempat ketiga dalam Kumpulan D dengan jumlah empat mata.
Pada minit-minit akhir perlawanan, pemain sensasi Perancis, Antoine Griezmann berjaya menyamakan kedudukan namun dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR) kerana ofsaid.
Perancis yang mara ke perlawanan pusingan 16 terakhir akan bertemu Poland yang berada di tempat kedua dalam Kumpulan C yang dijadualkan berlangsung pada pukul 11 malam, 4 Disember.
