PARIS, 17 OKT – Perbicaraan penyeludupan manusia akan dibuka di Paris hari ini, empat tahun selepas 39 pendatang Vietnam mati lemas dalam kontena sejuk beku dalam perjalanan ke Britain.
Mayat pendatang, dua daripadanya baru berusia 15 tahun ditemui dalam unit tertutup di sebuah pelabuhan berhampiran London pada Oktober 2019.
Mereka telah menaiki lori dari utara Perancis ke Belgium sebelum menyeberangi Britain.
Sembilan belas defendan dalam perbicaraan Perancis termasuk warganegara Vietnam, Perancis, Cina, Algeria dan Maghribi.
Dua ketua sindiket, seorang warga Romania dan seorang British telah disabitkan pada perbicaraan di Britain dan masing-masing dijatuhi hukuman penjara 27 dan 20 tahun, pada 2021.

Suspek lain, terutamanya pemandu, menerima 12 hingga 20 tahun, manakala mahkamah Belgium menjatuhkan hukuman 15 tahun kepada seorang lelaki Vietnam kerana menjadi ketua rangkaian setempat.
Defendan dalam perbicaraan Perancis berdepan hukuman sehingga 10 tahun kerana terlibat dalam penyeludupan manusia manakala empat juga didakwa dengan pembunuhan tidak sengaja.
Menurut pintasan telefon, mereka merujuk kepada pendatang sebagai ‘barangan’ atau ‘ayam’.
Defendan termasuk pemandu teksi dan pemilik pangsapuri yang digunakan untuk menempatkan pendatang di sekitar Paris, ada di antara mereka mendakwa mereka tertekan oleh kumpulan penyeludup.
Tetapi pendakwa berkata dalam satu kenyataan kepada mahkamah defendan didorong oleh habuan wang. – AFP

