Thursday, February 6, 2025
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perancis pulangkan khazanah Afrika

    PRESIDEN Perancis, Emmanuel Macron baru-baru ini bersetuju untuk mengembalikan 26 artifak budaya Afrika kepada Benin tanpa berlengah-lengah lagi. Perkara ini membangkitkan satu isu yang memberikan tekanan kepada bekas-bekas tanah kolonial yang lain berikutan tindakan negara itu yang mengembalikan karya seni Afrika ke negara asalnya.

    Keputusan itu, bagi Macron adalah dilihat sebagai satu simbolik apatah lagi ketika Macron menerima hasil kajian penyelidikan yang ditugaskannya untuk mengenai pasti khazanah Afrika yang disimpan rapi di Muzium Perancis.

    Macron bersetuju untuk mengembalikan 26 khazanah itu, terutamanya patung-patung raja dari Istana Abomey – dulu dikenali sebagai ibu kota kerajaan Dahomey – yang telah diambil oleh tentera Perancis semasa peperangan berlaku pada tahun 1892 dan sekarang disimpan di Muzium Quai Branly di Paris.

    Di samping itu, Macron turut mencadangkan untuk menghimpunkan lagi pakar-pakar sejarah dari Afrika dan Eropah di Paris pada tahun depan bagi menentukan rangka kerja dasar pertukaran bagi kebanyakan karya-karya seni Afrika.

    “Presiden itu turut berharap dengan pemulangan ini, ia akan dapat terus dipamerkan, dipinjam dan menghubungkan lagi kerjasama yang lebih lanjut,” kata Elysee.

    Presiden Perancis, Emmanuel Macron baru-baru ini bersetuju untuk mengembalikan 26 artifak budaya Afrika kepada Benin. – AFP

    Pada 2016, Benin telah menuntut Perancis untuk memulangkan khazanah mereka termasuk patung, karya seni, ukiran, skeptres dan banyak lagi yang dianggap bernilai. – AFP

    Ousmane Aledji, pengarah pusat kebudayaan Benin, Afrika berkata bahawa dia gembira dapat melihat satu bentuk pertukaran budaya baharu bersama dengan negara Perancis.

    Britain juga turut berdepan dengan perkara yang sama untuk memulangkan artifak-artifak milik benua Afrika dan Eropah, termasuk Elgin Marbles ke Greece dan Benin Bronzes ke Nigeria, sementara beberapa buah muzium seperti Muzium Belgium dan Austria turut menghimpunkan puluhan ribu artifak dan khazanah dari benua Afrika.

    Rundingan untuk mengembalikan seni?

    Desakan semakin kuat di Afrika untuk pemuliharaan karya-karya seni namun undang-undang Perancis dengan tegas melarang pihak kerajaan daripada menyerahkan harta khazanah kerajaan, walaupun khazanah itu dikenal pasti dan didokumentasikan dengan baik. Pada tahun 2016, Benin telah menuntut Perancis untuk memulangkan khazanah-khazanah mereka termasuk patung, karya seni, ukiran, skeptres dan banyak lagi yang dianggap bernilai.

    Walaupun permintaan itu pada awalnya ditolak, pada bulan November 2016, Macron membangkitkan harapan dalam satu ucapannya semasa berada di Burkina Faso dengan berjanji untuk memulangkan warisan Afrika ke benua Afrika. Berikutan ucapannya itu, Macron meminta pakar sejarah Perancis, Benedicte Savoy dan penulis dari Senegal, Felwine Sarr untuk mengkaji dengan lebih dalam dan luas perkara itu.

    Menurut laporan yang mereka hasilkan, satu salinan telah dilihat oleh media AFP di mana menekankan pengembalian artifak atau khazanah yang dibeli, ditukar atau dalam beberapa kes, artifak itu telah dicuri hendaklah disahut. Laporan itu turut mencadangkan satu undang-undang baharu dibangunkan bagi melancarkan proses pemulangan beribu-ribu khazanah Afrika yang telah diambil semasa tempoh penjajah kepada negara-negara yang meminta khazanah itu.

    Selain itu terdapat juga syarat, termasuk permintaan dari beberapa buah negara yang ingin tahu tentang asal-usul karya tersebut dan kewujudan yang tepat serta memastikan pelbagai kemudahan yang teratur dan sempurna di negara asalnya.

    Pejabat Macron mengatakan bahawa muzium itu akan dijemput bagi mengenal pasti khazanah itu dan mengatur kemungkinan pengembalian serta mewujudkan inventori dalam talian koleksi Afrika dengan begitu cepat.

    Presiden Macron turut menyeru orang ramai supaya melakukan kerja penyelidikan dengan mendalam bersama dengan negara-negara Eropah yang lain.

    Muzium takut akan kehilangan artifak

    Konvensyen UNESCO terhadap eksport barangan kebudayaan telah diterima pakai pada tahun 1970 dan menggesa pemulangan harta budaya yang diambil dari negara taklukan termasuk artifak yang diambil semasa zaman kolonial. Beberapa buah muzium takut untuk mengembalikan artifak-artifak itu malah kuasa kolonial itu semakin perlahan untuk mengesahkan konvensyennya. Perancis hanya berjaya melakukannya pada tahun 1997, Britain pada tahun 2002, Jerman pada tahun 2007 dan Belgium pada tahun 2009.

    Baru-baru ini, gabenor Pulau Paskah di Pasifik, merayu kepada Muzium British untuk mengembalikan salah satu patung terkenal milik mereka. Muzium London telah menyimpan The Hoa Hakananai’a, salah satu patung yang dianggap penting dan dianggarkan berusia 150 tahun.

    Dianggarkan sekitar 90,000 karya seni Afrika berada di Muzium Perancis dan kira-kira 70,000 berada di Muzium Quai Branly, di mana dicipta oleh bekas presiden Jacques Chirac, peminat tegar seni Afrika dan Asia.

    Manakala di tempat yang lain di Eropah, 37,000 objek dari Afrika-Sub Sahara berada di Muzium Weltmuseum Wina dan 180,000 berada di Muzium Diraja Belgium untuk Afrika Tengah di Tervuren.

    Laporan penyelidikan itu ditugaskan oleh Macron turut menekankan khazanah itu boleh merosakkan warisan Afrika dan budaya mereka.

    “Di benua ini, di mana 60 peratus dalam kalangan penduduk berumur di bawah 20 tahun, mempunyai kepentingan untuk menelusuri budaya, kreativiti dan kerohanian mereka sendiri namun di era yang lain,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda