Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perancis secara rasmi iktiraf negara Palestin

    ISTANBUL, 23 SEPT – Presiden Perancis, Emmanuel Macron kelmarin telah mengumumkan negaranya secara rasmi telah mengiktiraf negara Palestin, lapor agensi Anadolu.

    “Saya mengisytiharkan hari ini, Perancis mengiktiraf negara Palestin,” kata Macron semasa persidangan antarabangsa mengenai Palestin di New York menjelang permulaan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) minggu ini.

    “Sudah tiba masanya untuk menghentikan peperangan, pengeboman di Gaza, pembunuh-
    an beramai-ramai dan pengusiran rakyat.

    “Tiada apa yang boleh membenarkan perang yang berterusan di Gaza,” katanya.

    Macron turut menekankan keadaan yang mendesak, sambil berkata ‘masa untuk keamanan telah tiba kerana kita hanya tinggal sedikit masa sebelum peluang mencapai keamanan terlepas begitu sahaja.’

    Emmanuel Macron berucap semasa mesyuarat peringkat tinggi di ibu pejabat PBB pada 22 September. – AP

    Beliau turut berterima kasih kepada negara-negara lain yang baru-baru ini mengumumkan pengiktirafan termasuk Andorra, Australia, Belgium, Kanada, Luxembourg, Malta, Monaco, Portugal, United Kingdom (UK) dan San Marino.

    Pengiktirafan itu membuka jalan kepada rundingan yang berguna dan bermanfaat untuk rakyat Israel dan Palestin ke arah ‘pelan keamanan dan keselamatan untuk semua.’

    Macron berkata Perancis akan dapat membuat keputusan untuk membuka kedutaan kepada negara Palestin sebaik sahaja semua tawanan yang ditahan di Gaza dibebaskan dan gencatan senjata diwujudkan dan Paris bersedia menyumbang kepada misi penstabilan antarabangsa di wilayah itu.

    Persidangan berkenaan, yang dipengerusikan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi, merupakan rentetan kepada pertemuan seumpama itu pada Julai lalu.

    Amerika Syarikat (AS) dan Israel tidak menghadiri mesyuarat itu.

    Sejak 7 Oktober 2023, operasi ketenteraan Israel di Gaza telah meragut nyawa lebih 65,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda