Wednesday, October 30, 2024
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perancis sedia bertemu Argentina di Olimpik

    PARIS, 31 JULAI – Perancis bakal menentukan pertemuan yang hebat di peringkat suku akhir bertemu Argentina dalam dalam kejohanan bola sepak Olimpik lelaki selepas menewaskan New Zealand 3-0 dalam perlawanan terakhir kumpulan, kelmarin.

    Argentina telah mengesahkan tempat di peringkat suku akhir pada awal hari dan Perancis menyertai mereka dalam fasa kalah mati dengan Jean-Philippe Mateta, Desire Doue dan Arnaud Kalimuendo menjaringkan gol untuk tuan rumah menentang New Zealand di Marseille.

    Perancis menamatkan saingan Kumpulan A dengan tiga kemenangan daripada tiga perlawanan dan tanpa dibolosi, dengan Amerika Syarikat mara sebagai naib juara selepas menewaskan Guinea 3-0, Kevin Paredes menjaringkan dua gol.

    Ini bermakna pasukan Perancis bimbingan Thierry Henry akan menentang Argentina di Bordeaux pada hari Jumaat selepas negara Amerika Selatan itu yang merupakan pemenang pingat emas dua kali, mara di tempat kedua dalam Kumpulan B hasil kemenangan 2-0 ke atas Ukraine di Lyon.

    Jaringan hebat Thiago Almada memberikan Argentina pendahuluan sejurus selepas separuh masa dan pemain gantian, Claudio Echeverri memastikan kemenangan mereka di penghujung perlawanan.

    Ia akan menjadi pertemuan pertama kedua-dua negara itu sejak pemain Argentina dirakam menyanyikan lagu perkauman mengenai pemain Perancis ketika mereka meraikan kemenangan Copa America awal bulan ini.

    FIFA telah mengumumkan siasatan terhadap laungan itu, yang menyasarkan penyerang bintang Perancis Kylian Mbappe antara lainnya.

    Pemain Argentina telah pun diejek oleh peminat saingan di kejohanan Olimpik.

    Kali terakhir negara-negara itu bertemu pada perlawanan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar yang dimenangi Argentina menerusi sepakan penalti selepas seri 3-3. – AFP

    Jurulatih Perancis, Thierry Henry (kiri) memeluk pemain tengah Perancis, Johann Lepenant pada penghujung perlawanan bola sepak kumpulan lelaki Sukan Olimpik Paris 2024 antara New Zealand dan Perancis, di Stadium Marseille, di Marseille, selatan Perancis, pada 30 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda