MOSCOW, 29 Jun – Antoine Griezmann cemerlang ketika membantu Perancis mara ke final Euro 2016 di laman sendiri namun prestasinya dalam perlawanan di Piala Dunia mencetuskan kebimbangan menjelang pertemuan pusingan kedua menentang Argentina yang diketuai Lionel Messi.
Penyerang Atletico Madrid itu dilihat tidak berada pada tahap terbaik dalam aksi peringkat kumpulan, gagal beraksi 90 minit dalam tiga perlawanan bersama Perancis.
Olivier Giroud merasakan Griezmann tidak berada pada tahap fizikal terbaik selepas mengharungi musim yang panjang menyaksikan dia membuat 60 penampilan bersama kelab dan negara, kemuncaknya dengan kejayaan di final Liga Europa.
Rakan sepasukan memberikan sokongan kepadanya, diketuai Paul Pogba, pemain yang turut berdepan kritikan sejak beberapa bulan lalu. “Jangan kacau Grizou,” kata Pogba sambil tersenyum minggu lalu.
“Anda sudah lupakan Euro. Griezmann yang keletihan bermula dengan hambar di Euro, berusaha keras memberi impak kehadirannya dengan gol lewat perlawanan untuk menewaskan Albania 2-0 dalam peringkat kumpulan.
Dia mengetuai Perancis selepas itu, meledak lima daripada enam gol dalam peringkat kalah mati untuk muncul penjaring terbanyak kejohanan.
“Dia tetap Grizou yang sama walaupun tidak meledak jaringan pada perlawanan terakhir,” kata Pogba selepas kemenangan 1-0 mengatasi Peru.
Griezmann sendiri mengakui mengharapkan lebih lagi dengan barisan pemain berbakat Perancis cuba mempamerkan potensi sebenar di Rusia.
“Saya berharap dapat kembali meningkat di pusingan kedua,” katanya kepada televisyen Perancis selepas terikat tanpa jaringan dengan Denmark.
“Ia sama seperti Euro. Saya mencapai tahap terbaik di pusingan kedua. Saya yakin dengan prestasi diri, sama-sama kita nantikan. – AFP