PARIS, 22 MEI – Seramai 55 lelaki telah ditahan di Perancis minggu ini sebagai sebahagian daripada operasi untuk membongkar kumpulan disyaki pedofilia yang beroperasi melalui aplikasi pemesejan Telegram, kata pihak berkuasa hari ini.
“Penahanan itu berlaku di 42 jabatan berhubung pemilikan, pengedaran dan tontonan kerap pornografi melibatkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun,” kata sebuah pejabat yang ditugaskan untuk mencegah keganasan terhadap kanak-kanak bawah umur, OFMIN Perancis, kepada AFP.
Tangkapan itu, adalah berdasarkan siasatan selama 10 bulan, bermula dari Isnin hingga hari ini. Suspek berusia 25 hingga 75 tahun itu termasuk seorang paderi, paramedik dan guru muzik.
Lelaki itu bertukar-tukar mesej di Telegram dan berhubung dengan pedofilia sangat berbahaya yang telah berada di penjara sejak musim panas lalu, kata Ketua Unit Operasi OFMIN, Quentin Bevan, kepada AFP.
Operasi besar-besaran itu bermula musim panas lalu dengan penahanan individu yang disyaki mendera kanak-kanak dan menyiarkan imej di Telegram.
“Ia mengambil masa 10 bulan siasatan untuk mengesan penganiayaan kanak-kanak ini,” kata Bevan. “Selama 10 bulan kerja menyamar yang melibatkan beribu-ribu pertukaran, analisis dan pengesanan imej pedofilia oleh pasukan petugas yang ditubuhkan di OFMIN,” tambahnya.
Pejabat itu mengeluarkan waran yang membawa kepada penahanan Pengasas Telegram, Pavel Durov di Paris pada 2024, dan dia masih dalam siasatan rasmi oleh pihak berkuasa Perancis berhubung kandungan haram dalam perkhidmatan popular itu. – AFP
