Perancis tawar suntikan ‘booster’ September ini

PARIS, 24 OGOS – Warga emas Perancis mungkin akan diberikan suntikan tambahan atau booster untuk vaksin COVID-19 mulai September, kata Menteri Kesihatan Oliver Veran kelmarin.

Beliau berkata kementerian sedang menunggu keputusan akhir daripada badan khas yang ditugaskan untuk menilai mengenai dos tambahan itu, lapor Agensi Anadolu.

“Dos ketiga mungkin akan disyorkan bagi mereka berusia 65 tahun ke atas bermula awal bulan depan,” katanya. Lebih 80 peratus rakyat Perancis telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sejak Julai lalu Perancis telah digegarkan dengan tunjuk perasaan besar-besaran golongan antivaksin. – Bernama