PARIS, 13 Jun – Hugo Lloris akan bermula dan memakai lilitan kapten bagi Perancis ketika menentang England awal pagi esok meskipun melakukan kesilapan besar dalam kelayakan Piala Dunia hujung minggu lalu, kata jurulatih Didier Deschamps.
“Saya sudah bercakap mengenai ini dengannya. Saya fikir ia adalah terbaik untuknya dan dia mempunyai fikiran yang sama,” kata Deschamps apabila ditanya sama ada penjaga gol Tottenham Hotspur itu akan diturunkan bagi perlawanan menentang England.
Pemain berusia 30 tahun itu, yang telah memenangi 89 kap, keluar dari petaknya untuk membuat sepakan tinggi dalam masa kecederaan ketika menentang Sweden minggu lalu. Tetapi sepakannya lemah jatuh di kaki Ola Toivonen, yang menendang masuk bola ke gawang kosong dari separuh padang bagi memberikan Sweden kemenangan 2-1 di Stockholm.
Keputusan itu menyebabkan Perancis berada di tempat kedua bagi kelayakan Kumpulan A Piala Dunia Rusia tahun depan, di belakang Sweden menerusi perbezaan jaringan.
Mereka juga tiga mata di depan Belanda, yang akan mereka hadapi bagi perlawanan seterusnya di gelanggang sendiri pada bulan Ogos.
Deschamps boleh sahaja memilih penjaga gol Bordeaux, Benoit Costil atau penampilan pertama buat Alphonse Areola dari Paris Saint-Germain dalam perlawanan persahabatan itu.
Tetapi, sementara Joe Hart tidak akan berada di gawang buat pasukan pelawat susulan kritikan atas persembahannya, Lloris akan berada dalam kesebelasan menentang skuad England, yang dipimpin oleh rakan sepasukannya di Spurs, Harry Kane.
“Saya memberitahunya apa yang saya fikir mengenai dirinya. Ia tidak mengubah apa yang kami fikir tentangnya, sama ada sebagai pemain atau individu,” kata pemain pertahanan Real Madrid, Raphael Varane.
“Dia telah melakukan sedikit kesilapan, tetapi apabila anda seorang penjaga gol, kesilapan kerap sangat merugikan.
“Dia mendapat keyakinan penuh kami. Dia adalah kapten kami, jadi dia sedar mengenai sokongan dan kepentingan dalam skuad. Kami tahu di masa depan dia akan terus menyelamatkan kami dan memenangi perlawanan untuk kami.” – AFP