Perancis tutup masjid di Beauvais

PARIS, 28 DIS – Perancis mengarahkan penutupan sebuah masjid di utara negara itu kerana pihaknya mengesan seorang imam yang mengamalkan fahaman radikal, beritahu pihak berkuasa wilayah kepada AFP hari ini.

Masjid di Beauvais, sebuah bandar dengan keramaian 50,000 penduduk dan terletak 100 kilometer di utara Paris, ditutup selama enam bulan, kata pihak pentadbir wilayah Oise di mana Beauvais terletak.

Katanya khutbah yang disampaikan menimbulkan unsur kebencian, keganasan dan mempertahankan jihad.

Pengumuman penutupan rumah ibadat itu dibuat dua minggu selepas Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin, mendapati intipati khutbah disampaikan imam berkenaan menyasarkan penganut Kristian, homoseksual dan Yahudi. Justeru, beliau mendapati tindakan imam itu sesuatu yang tidak boleh diterima.

Pihak berkuasa tempatan melancarkan operasi secara sah untuk memperoleh maklumat selama 10 hari sebelum tindakan diambil, tetapi berdasarkan apa yang diberitahu kepada AFP hari ini, masjid berkenaan sekarang ditutup selama dua hari.

Memetik laporan akhbar tempatan Courrier Picard pada bulan ini, imam masjid berkenaan baru saja menganuti agama Islam.

Akhbar itu memetik seorang peguam persatuan yang menguruskan masjid itu berkata bahawa kenyataan diambil di luar konteks dan sehubungan itu, imam berkenaan digantung tugasnya susulan surat diterima daripada pihak pentadbir wilayah.

Awal tahun ini, kerajaan Perancis telah mengumumkan pihaknya akan menjalankan pemeriksaan terhadap rumah ibadat dan majlis yang disyaki menyebarkan propaganda Islam radikal. – AFP

Masjid di Beauvais, sebuah bandar berpenduduk 50,000 orang kira-kira 100 kilometer di utara Paris, akan tetap ditutup selama enam bulan. – Agensi