PARIS, 18 JAN – Perancis dan Britain hari ini menyertai senarai negara yang semakin meningkat untuk memulakan vaksinasi secara besar-besaran terhadap semua warga berusia ketika United Kingdom (UK) mula mengenakan kewajiban semua penumpang yang tiba untuk menjalani kuarantin bagi mengekang penularan varian COVID-19 baharu.
Dalam pada itu, Perancis juga berhasrat untuk melakukan vaksinasi kepada semua penduduk yang berusia 75 tahun ke atas selepas langkah sama dilakukan oleh Brazil dan India, yang merupakan antara negara yang paling teruk terjejas.
Menteri Kesihatan Olivier Veran berkata lebih daripada satu juta vaksinasi disasarkan pada Januari dan antara 2.4 dan 4 juta pada bulan Februari.
Perancis sebelumnya telah menawarkan vaksinasi kepada penduduk di rumah persaraan dan pekerja kesihatan di barisan hadapan.
Sementara itu, Britain hari ini memperluaskan kempen vaksinasinya kepada mereka yang berusia lebih 70 tahun, selepas suntikan pertama kali diberikan kepada mereka yang berusia lebih 80 tahun dan pekerja serta penjaga kesihatan.
Kekhuatiran yang semakin meningkat terhadap pelbagai jenis virus telah mendorong kerajaan untuk terus mengekang penularan dan mengurangkan jumlah kematian global yang kini telah mencapai dua juta sejak pandemik pertama kali muncul di China setahun yang lalu. – AFP
