PARIS, 25 JULAI – Pihak berkuasa Perancis telah melancarkan operasi besar untuk ‘membersihkan’ komputer yang dijangkiti program pengintipan siber yang telah menyerang berjuta-juta pengguna di seluruh dunia, kata seorang pendakwa kanan, hari ini.
“Menjelang Sukan Olimpik, operasi ini menunjukkan bahawa pemain-pemain berbeza di Perancis dan luar negara digerakkan untuk memerangi semua bentuk jenayah siber,” kata ketua pendakwa raya Paris, Laure Beccuau dalam satu kenyataan.
Beliau berkata penyiasat menyasarkan rangkaian bot yang disyaki menjangkiti komputer dengan perisian hasad PlugX dan mencuri data daripada mereka, terutamanya untuk tujuan pengintipan.
Beliau berkata penganalisis dan penyiasat telah berjaya mengawal pelayan (server) yang mengawal berjuta-juta komputer yang dijangkiti dan sedang menjalankan pengubahsuaian.
Mereka melancarkan operasi itu pada 18 Julai dan ia dijangka berlangsung beberapa bulan, setelah membantu mangsa di beberapa negara Eropah, kata kenyataan itu. – AFP


