Gambar AP
KYIV, UKRAINE – Kanak-kanak lelaki memakai topi keledar terpakai dan senjata mereka tidak dapat membunuh, tetapi aksi perang yang mereka mainkan di padang Ukraine yang hijau adalah nyata bagi mereka dan memberi kesan.
Lebih setahun selepas pencerobohan Rusia, peperangan telah meresap ke dalam permainan dan pandangan dunia kanak-kanak Ukraine, memberi kesan kepada mereka dalam sikap dan tingkah laku sepanjang hayat mereka.
“Saya sangat seronok bermain perang. Saya mahu membesar menjadi wira perang yang sebenar,” kata Maksym Mudrak yang berusia 10 tahun, memakai pakaian perang bersaiz kanak-kanak, topi keledar yang sudah lusuh terlalu besar untuk kepalanya dan senjata mainan plastik.
Bapa Maksym, yang bukan anggota tentera, terbunuh berhampiran Kyiv pada awal-awal peperangan selepas keluar menghantar bekalan kepada sukarelawan yang bertahan daripada serangan Rusia, kata keluarga itu.
Nenek kanak-kanak itu berkata, dia semakin berminat dengan peperangan berikutan pencerobohan dan kematian bapanya, Oleksiy Mudrak yang berusia 40 tahun pada 4 Mac 2022.




“Kematian bapanya sangat memberi kesan kepadanya. Maksym sentiasa memikirkannya. Dia pergi ke tanah perkuburan dan menangis,” kata Valentyna Mudrak, 72 tahun.
Maksym melihat menjadi tentera merupakan cara untuk mengingati kenangan ayahnya dan mempunyai idea yang jelas tentang siapa yang bertanggungjawab atas perang yang meragut nyawa ayahnnya.
“Saya menganggap orang Rusia sebagai musuh terburuk saya,” kata Maksym, yang tinggal bersama neneknya berhampiran Kyiv di Stoyanka.
Peperangan telah membawa kemusnahan dan penderitaan yang mengejutkan kepada rakyat Ukraine, dan bagi kanak-kanak ini bermakna kehilangan orang tersayang dipisahkan dari sekolah atau rumah dan terdedah kepada ketakutan.
Selain itu, lebih 500 kanak-kanak telah terbunuh sejak pencerobohan itu, menurut statistik PBB.
Pakar psikologi, Kateryna Goltsberg berkata kanak-kanak telah lama bermain perang dalam situasi konflik dan ia merupakan refleksi serta cara untuk memproses pengalaman mereka.
Meskipun semua kanak-kanak Ukraine terjejas oleh perang dalam beberapa cara, tidak jelas sama ada pengalaman itu akan mengakibatkan trauma sepanjang hayat.
“Perang mengubah kita. Tetapi kita perlu menyedari bahawa terdapat sesuatu yang dikenali sebagai pertumbuhan tekanan selepas trauma, apabila seseorang yang terselamat daripada peristiwa traumatik menjadi lebih kuat,” katanya
Konfrontasi di barisan hadapan telah mengubah cara kanak-kanak berinteraksi di taman permainan.
Lesya Shevchenko berkata, anak perempuannya yang berusia lapan tahun, Dana, hanya mempunyai satu soalan untuk kanak-kanak yang ditemuinya di khalayak ramai: “Siapa nama kamu? Mari kita bermain.”
Tetapi dalam perjalanan keluarga ke pantai di Bulgaria selepas perang bermula, Shevchenko terkejut apabila menyedari anak perempuannya bertanya dari mana bakal rakan sepermainannya.
Apabila kanak-kanak tersebut menyatakan mereka adalah orang Rusia, Dana akan berpaling senyap dan pergi.
“Saya hanya fikir saya tidak mahu bercakap dengan me-reka, itu sahaja. Mungkin kerana saya fikir semua orang Rusia adalah begitu, kerana di mata saya mereka jahat,” kata Dana.
Ibunya, seorang doktor gigi berusia 49 tahun, berkata bahawa ini bukanlah tingkah laku yang diajarkan, dan dia telah memberitahu anak-anaknya bahawa mereka tidak boleh membenci semua orang dari Rusia.
Namun Dana telah mengalami trauma akibat perang, tembakan telah membuatnya takut dengan bunyi bising dan dia takut untuk meninggalkan tempat perlindungan bom.
Ibu Dana sendiri ingin mengetahui dengan jelas sama ada penduduk Rusia menolak keputusan rampasan kawasan yang dilakukan oleh Moscow ke atas tanah Ukraine di Crimea dan wilayah timur Donbas.
“Jika seseorang mengatakan bahawa ‘ini adalah topik yang sangat kontroversi’, maka saya tidak akan bercakap dengan mereka. Tiada perkara yang sukar dinilai di sana, hanya hitam dan putih. Kami diserang,” kata Shevchenko.
Ibu bapa lain menganggapnya sebagai kewajipan mereka untuk mengajar anak-anak mereka pandangan terhadap Rusia yang tidak memberi ruang untuk membuat penilaian.
Iryna Kovalenko telah mengajar anak-anaknya sejak pencerobohan bahawa Rusia bertanggungjawab secara kolektif untuk perang dan mereka yang baik perlu membuktikannya.
Anak perempuannya, Sofiya yang berusia enam tahun meringkaskan dengan berkata: “Ibu saya memberitahu saya mereka melancarkan bom ke Ukraine dari Rusia.”
“Ibu juga berkata bahawa Presiden Rusia, Vladimir Putin sangat teruk. Dan dia memukul kucing dan anjing semasa dia masih kecil.
“Dan kemudian, apabila dia dewasa, dia beralih kepada orang lain,” tambahnya.
Kovalenko, seorang jururawat ber-usia 33 tahun, menganggap kata-katanya kepada anak-anaknya sebagai amaran. – AP

