DHAKA, 29 Mei – Lebih daripada 100 pengedar dadah terkorban dan beribu-ribu lagi di tahan di Bangladesh sejak dua minggu ini dalam operasi tindakan keras narkotik yang telah membangkitkan kebimbangan tentang pembunuhan luar bidang kehakiman.
Polis berkata 10 lagi yang disyaki sebagai pedagang haram dadah telah ditembak mati awal pagi hari ini dalam aksi berbalas-balas tembakan dengan polis dan perang geng antara peniaga-peniaga haram dadah.
Seramai 102 pengedar dadah yang disyaki telah terbunuh sejak Bangladesh melancarkan perang agresif terhadap dadah pada pertengahan Mei ini untuk menghancurkan perdagangan Yaba, pil murah yang menggabungkan methamphetamine dan kafein.
“Kami mengatakan bahawa perang ini akan berterusan sehingga kami dapat mengendalikannya,” kata Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan kepada AFP.
Kira-kira 12,000 pedagang haram yang disyaki telah ditangkap dan diheret ke mahkamah khas sejak tindakan keras itu bermula pada 15 Mei lalu.
Kebanyakan daripada mereka dijatuhkan hukuman penjara daripada tujuh hari ke enam bulan, tambahnya.
Khan berkata dia yakin bahawa mereka yang terkorban itu adalah pedagang dadah, walaupun terdapat tuduhan oleh kumpulan hak kemanusiaan bahawa orang yang tidak bersalah juga mati dalam operasi itu.
“Kebanyakan mereka yang terbunuh mempunyai senjata api. Mereka melepaskan tembakan sebaik sahaja mereka melihat polis,” katanya.
“Mereka bukan orang yang baik. Setiap daripada mereka mempunyai rekod jenayah sebanyak 10 hingga 12 kes.”
Tetapi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan minggu ini menyatakan kebimbangan pada jumlah korban kematian dan memberikan amaran terdapatnya pembunuhan luar bidang kehakiman.
Rapid Action Battalion, sebuah unit polis elit yang bertanggungjawab dalam operasi itu berkata kesemua 24 orang yang terbunuh adalah ‘pedagang haram dadah yang tertinggi’ namun tidak memberikan sebarang bukti.
Salah seorang yang terbunuh adalah ahli anggota majlis perbandaran dari Teknaf yang dikatakan penyokongnya, tidak pernah terlibat dengan aktiviti dadah. – AFP