Monday, March 24, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perang dagangan AS jejaskan pertumbuhan

    BERLIN, 13 Ogos – Menteri Ekonomi Jerman, Peter Altmaier, berkata perang dagangan yang dilancarkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ‘memusnahkan’ pertumbuhan ekonomi dunia.

    Semalam, Altmaier mengkritik tindakan Trump, sekali gus menyelar perang dagangan global dan usaha Trump untuk campur tangan dalam perjanjian antara Kesatuan Eropah dengan Iran menerusi sekatan baharu yang dilaksanakan Washington.

    Ketika ditemu bual oleh akhbar mingguan Jerman, Bild am Sonntag, Altmaier mengingatkan mengenai kesan buruk perang dagangan Amerika Syarikat-China.

    Dia turut menyatakan kebimbangan terhadap keputusan Trump mengenakan tarif logam yang tinggi ke atas Turki dalam pertikaian yang semakin memuncak itu.

    “Perang dagangan ini memperlahan dan memusnahkan pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan ketidakpastian baharu.

    “Berdasarkan pengalaman lalu, yang menjadi mangsa utama perang dagangan ini adalah pengguna, kerana ia menjadikan harga barang semakin mahal,” kata Altmaier.

    Ketika ini, tarif penalti sudah dikenakan ke atas import dari China bernilai AS$34 bilion, manakala levi tambahan terhadap barangan bernilai AS$16 bilion dari negara itu akan dikuatkuasa akhir bulan ini. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda