ISTANBUL, 14 NOV – Ketua bantuan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan perang di Sudan sebagai ‘kejam dan tidak berperikemanusiaan,’ sambil menggesa semua pihak membenarkan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan serta memastikan keselamatan orang awam dan petugas kemanusiaan, lapor agensi Anadolu (AA).
Kenyataan itu dibuat ketika tinjauan di wilayah barat Darfur oleh Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan, Tom Fletcher, menurut laman sesawang PBB kelmarin.
Fletcher tiba di Port Sudan pada Selasa untuk lawatan selama seminggu.
Beliau meneruskan lawatan ke Darfur selepas bermalam di Geneina, sebelum bergerak ke Zalingei dan seterusnya menuju ke Darfur Timur.
Penderitaan rakyat Sudan terus meruncing akibat peperangan berdarah antara tentera Sudan dan Rapid Support Forces (RSF) sejak April 2023, yang meragut puluhan ribu nyawa serta menyebabkan hampir 13 juta orang kehilangan tempat tinggal.
“Ini benar-benar perang yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Kita mesti berada di sisi mangsa yang terselamat. Kita mesti dibenarkan menyalurkan bantuan menyelamat nyawa.
“Saya menghabiskan sehari di Port Sudan di timur negara ini, berbincang dengan pihak berkuasa di sana, termasuk Jeneral Burhan dan lain-lain,” katanya.
Fletcher turut menjelaskan bahawa beliau telah berhubung dengan RSF untuk membenarkan akses penuh ke semua kawasan operasi yang diperlukan, di samping melindungi petugas kemanusiaan dan orang awam. – Bernama


