BAITULMAQDIS, 1 JAN – Perang Israel di Gaza akan berterusan sepanjang 2024, kata seorang jurucakap tentera dalam perutusan tahun baharu, menegaskan bahawa puluhan ribu pasukan simpanan akan diperlukan untuk berperang.
“IDF (Pasukan Pertahanan Israel) mesti merancang lebih awal, memahami bahawa kami akan diperlukan untuk tugas tambahan dan peperangan sepanjang tahun ini,” kata Daniel Hagari kepada pemberita.
“Objektif perang memerlukan pertempuran yang berpanjangan dan kami sedang bersiap sedia.”
Serangan balas darat, laut dan udara Israel ke atas Gaza setakat ini telah membunuh sekurang-kurangnya 21,828 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan wilayah Gaza.
Hagari berkata tentera kini sedang merancang cara mengerahkan tentera dalam beberapa bulan akan datang.
“Ada di antara askar simpanan akan pulang ke pangkuan keluarga dan bekerja minggu ini,” katanya.
“Ia akan meringankan beban ekonomi dengan ketara dan membolehkan mereka mengumpul kekuatan untuk aktiviti akan datang pada tahun hadapan, kerana pertempuran akan berterusan dan mereka masih diperlukan.”
Sejak operasi darat bermula pada 27 Oktober di Gaza, tentera telah kehilangan 172 askar di wilayah Palestin, termasuk beberapa dalam insiden tembakan. – AFP
