Ahad, 23 November 2025
Klik Lagi

    Perang sudah berakhir – Trump

    ISTANBUL, 13 OKT – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump kelmarin tegaskan bahawa perang di Gaza telah berakhir ketika beliau berlepas ke Timur Tengah bagi menghadiri sidang kemuncak antarabangsa berhubung gencatan senjata yang dipersetujui di wilayah berkenaan, lapor Anadolu Ajansi.

    “Perang sudah berakhir, faham?” kata Trump kepada wartawan di dalam pesawat Air Force One selepas berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Andrews di Maryland menuju ke destinasi pertamanya, Tel Aviv.

    Beliau menjawab pertanyaan mengenai Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang belum mengakui berakhirnya konflik itu.

    Trump berkata beliau yakin perjanjian gencatan senjata berdasarkan pelan 20 perkara yang diumumkannya Rabu lalu akan kekal utuh.

    “Terdapat banyak sebab mengapa ia akan bertahan. Tapi saya fikir semua orang sudah letih dengannya. Ini bukan baru-baru ini, tapi sudah berlarutan berabad lamanya,” katanya.

    Trump dijadual tiba di Tel Aviv pada jam 9.20 pagi Isnin waktu tempatan, bertemu keluarga tawanan dan berucap di Knesset (parlimen Israel).

    Beliau akan berlepas ke Sharm el-Sheikh, Mesir pada jam 1 tengah hari waktu tempatan untuk menghadiri dan mempengerusikan bersama Sidang Keamanan Sharm el-Sheikh mengenai gencatan senjata Gaza bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi.

    Lebih 20 pemimpin dunia dijangka menghadiri sidang itu termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Raja Jordan Abdullah II; Raja Bahrain Hamad bin Isa Al Khalifa; Perdana Menteri Britain, Keir Starmer; Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez; Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni; Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan Canselor Jerman, Friedrich Merz.

    Mesir dalam kenyataannya memaklumkan sidang itu bertujuan, “mengakhiri perang di Semenanjung Gaza, memperkukuh usaha membawa keamanan dan kestabilan ke Timur Tengah serta fasa baharu keselamatan dan kestabilan serantau.”

    Pada Rabu lalu, Trump mengumumkan bahawa Israel dan kumpulan Palestin Hamas bersetuju melaksanakan fasa pertama pelan 20 perkara bagi melaksanakan gencatan senjata di Gaza.

    Pelan itu merangkumi pembebasan semua tawanan Israel sebagai pertukaran dengan kira-kira 2,000 tahanan Palestin serta pengunduran berperingkat tentera Israel dari Semenanjung Gaza. Fasa pertama berkuat kuasa pada Jumaat. Fasa kedua pula melibatkan penubuhan badan pentadbiran baharu di Gaza tanpa penyertaan Hamas, penempatan pasukan multinasional dan pelucutan senjata kumpulan itu.

    Sejak Oktober 2023, serangan Israel mengorbankan lebih 67,600 penduduk Palestin di Gaza, menjadikan wilayah itu hampir tidak dapat didiami. – Bernama/Anadolu

    Donald Trump bercakap kepada akhbar sebelum menaiki Air Force One untuk perjalanan ke Timur Tengah kelmarin di Pangkalan Bersama Andrews, Maryland. Beliau nyatakan perang sudah berakhir. –AFP

    Kata Kunci

    Popular

    Rencana

    Temui ketenangan jiwa dalam lukisan berus

    Dendam Tok Darud

    Inara Rusli didakwa perosak rumah tangga

    Berita Berkaitan

    RC berjaya kumpul 105 pain darah

    Oleh Sim Y. H. -  BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV...

    Tang Jie-Ee Wei rangkul juara Terbuka Australia

    KUALA LUMPUR, 23 NOV – Beregu campuran utama Malaysia,...

    Berangkat hadir Majlis Penutupan Rasmi ISG6

    Oleh Sim Y. H - BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV...

    Sisa makanan jadi bahan utama kebun komuniti lestari

    Oleh Soon Li Wei KUALA LUMPUR, 23 NOV - Di tengah-tengah hiruk...

    Terkini

    Temui ketenangan jiwa dalam lukisan berus

    SELANGOR - Kelas lukisan berus Cina selama empat jam...

    Dendam Tok Darud

    (Siri 17) Oleh Dino MN - Baru saja tiga bulan penduduk...

    12 jemaah sertai pertandingan membaca Al-Quran

    Oleh Daniel Lim - BELAIT, 23 NOV — Seramai 12...

    RC berjaya kumpul 105 pain darah

    Oleh Sim Y. H. -  BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV...