Friday, March 7, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perang Sudan berisiko cetus krisis kebuluran terbesar dunia

    KHARTOUM, 6 MAC – Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu memberi amaran hari ini perang hampir 11 bulan di Sudan antara jeneral-jeneral saingan ‘berisiko mencetuskan krisis kelaparan terbesar dunia’.

    Peperangan antara ketua tentera Abdel Fattah al-Burhan dan bekas timbalannya, Mohamed Hamdan Daglo, yang mengetuai Pasukan Sokongan Pantas separa tentera (RSF), telah membunuh puluhan ribu orang, memusnahkan infrastruktur dan melumpuhkan ekonomi Sudan.

    Ia juga telah mengakibatkan lebih daripada lapan juta orang kehilangan tempat tinggal, selain dua juta yang terpaksa meninggalkan rumah mereka sebelum konflik, menjadikannya krisis perpindahan terbesar dunia.

    “Kini, jutaan nyawa dan keamanan serta kestabilan seluruh wilayah itu berdepan risiko”, kata pengarah eksekutif WFP, Cindy McCain.

    “Dua puluh tahun yang lalu, Darfur adalah krisis kelaparan terbesar di dunia dan dunia bersatu untuk bertindak balas,” katanya, merujuk kepada wilayah barat Sudan.

    “Tetapi hari ini, rakyat Sudan telah dilupakan.”

    RSF sendiri adalah keturunan militia Janjaweed, yang digunakan oleh bekas diktator Omar al-Bashir menentang pemberontak etnik minoriti di Darfur pada awal 2000an.

    Dalam perang sekarang, RSF dan tentera dituduh menyerang sewenang-wenang kawasan kediaman, menyasarkan orang awam dan menghalang serta merampas bantuan penting. – AFP

    Anggota bersenjata Sudan, yang menyokong tentera, berbaris di jalanan Gedaref di timur Sudan. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda