SANAA – Tersembunyi di tengah-tengah bangunan yang dipenuhi dengan lubang peluru dan penghormatan di tepi jalan kepada pejuang yang terkorban, kesan perang yang kurang ketara sedang merebak ke seluruh ibu kota Yaman: kedai kopi istimewa yang menghidangkan secawan kopi tapis terbaik.
Negara paling miskin di Semenanjung Arab, terperangkap dalam konflik lapan tahun antara pemberontak Huthi yang disokong Iran dan pasukan yang menyokong kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, mempunyai hubungan yang mendalam dengan kopi.
Legenda mengatakan bahawa ahli mistik Sufi di pantai barat Yaman adalah orang pertama yang menyeduh biji kopi pada abad ke-15.
Namun, para usahawan Yaman baru-baru ini telah memberi tumpuan pada mengeksport produk terbaik mereka ke pasaran luar negara yang kaya.
Yang paling terkenal dalam kalangan mereka ialah Mokhtar Alkhanshali, yang mana usahanya untuk menghantar kontena yang penuh dengan biji kopi istimewa semasa peringkat awal perang telah digambarkan dalam buku terlaris Dave Eggers pada tahun 2018, The Monk of Mokha.
Bagi rakyat Yaman yang lain, bagaimanapun, pelabuhan yang dihalang dan sekatan berkaitan yang dikenakan semasa perang telah memberi inspirasi kepada mereka untuk beralih ke pasaran domestik, menghidupkan suasana kafe yang pada hari ini membawa persekitaran ala Brooklyn dan Paris ke jalan raya Sanaa yang terjejas akibat peperangan.
“Orang ramai mula merasakan bahawa kopi Yaman menjadi semakin mahal dan mereka hilang minat untuk membelinya,” kata Rashed Ahmed Shagea dari Durar Coffee, sambil mengenang kembali bagaimana pasaran eksport merosot apabila pertempuran meletus pada tahun 2015.
Sebagai tindak balas, dia membuka sebuah kedai yang selesa di tengah-tengah Sanaa di mana pelanggan boleh mencuba biji kopi dari seluruh negara, dikelilingi oleh seni Yaman dan perabot kayu buatan Yaman.
“Kami terpaksa memikirkan cara lain untuk menyokong petani kami,” kata Shagea.
“Semua orang berkata adalah mustahil untuk bekerja di Yaman, bahawa orang tidak mempunyai kuasa membeli… Tetapi kami berkeras.”
Minuman ajaib
Di kawasan kejiranan Hadda di selatan Sanaa, Hussein Ahmed membuat percaturan yang sama pada tahun 2018 dengan membuka kafe Mocha Hunters miliknya di jalan yang dipenuhi vila bernilai jutaan dolar.
Ia merupakan kemuncak perjalanan peribadi yang panjang dengan kopi yang bermula apabila dia dan isterinya dari Jepun mengasaskan sebuah kafe di Tokyo lebih sedekad yang lalu.
Selepas perkahwinan itu berakhir, Ahmed juga memberi tumpuan kepada pengeksportan, tetapi halangan semasa perang dan larangan perjalanan terhadap rakyat Yaman yang diperkenalkan oleh bekas presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendorongnya untuk mempertimbangkan peluang di negara asalnya.
Pada zaman awal penubuhan kafe itu, Ahmed kadangkala boleh mengira dengan jari jumlah pelanggan yang datang.
Kini, halaman kafe penuh hampir setiap petang, dengan orang Yaman dan warga asing tertarik dengan menu ringkas: 750 rial Yaman (sekitar AS$1.50) untuk kopi tuang dan qishr, minuman tradisional yang diperbuat daripada kulit kopi dan 1,000 rial Yaman (sekitar AS$2) untuk minuman sejuk.
“Ia seperti gelombang,” kata Ahmed, sambil menambah bahawa ini adalah lumrah bagi sebuah negara ‘perintis’ kopi yang telah mengubahnya ‘daripada biji kepada minuman ajaib’.
Tawaran istimewa itu jauh berbeza daripada kopi gred komersial, yang sering dicampur dengan susu dan gula, yang merupakan minuman harian kebanyakan orang Yaman, kata Ahmed.
“Kami memperkenalkan semula definisi cita rasa yang enak,” katanya, dengan sedikit keangkuhan sebagai pemula trend yang menghormati diri sendiri.
“Kami memberitahu pelanggan, ‘cita rasa atau pilihan awda tidak penting kepada kami. Kami minum apa yang kami rasakan enak’.”
Kopi ‘nyanyian malaikat’
Kedua-dua kafe Durar dan Mocha Hunters masih banyak bergantung pada perniagaan eksport mereka, yang menjadi lebih mudah selepas gencatan senjata diumumkan pada April tahun lalu.
Kopi Yaman terkenal di seluruh dunia: James Freeman, pengasas Blue Bottle Coffee, pernah bercerita mengenai produk Alkhanshali dari Pelabuhan Mokha bahawa ‘inilah rasa nyanyian malaikat’.
Jualan di luar negara telah dirancakkan lagi oleh komuniti diaspora Yaman yang penuh rindu akan tanah air mereka tetapi enggan pulang kerana peperangan, kata Ahmed.
“Saya fikir ekspatriat kita, orang kita yang tinggal di luar negara, disebabkan kesukaran dalam perjalanan, mereka menjadi lebih emosi tentang tanah air mereka. Jadi mereka membeli produk tempatan,” katanya.
“Ia adalah pergerakan global, kopi istimewa, tetapi di Yaman ia lebih emosional.”
Manakala di negara sendiri, para usahawan optimis terhadap pasaran tempatan, terutamanya jika gencatan senjata yang berpanjangan berlaku dan ekonomi diperbaiki.
Lebih daripada dua pertiga penduduk kini bergantung kepada bantuan untuk terus hidup.
“Tempat ini akan berkembang pada masa hadapan untuk menjadi pusat kopi terbesar di Timur Tengah,” ramalan Ghaleb Yahya Alharazi, pengurus Haraz, sebuah kedai kopi yang dibuka tahun lalu dan boleh memuatkan 1,000 orang.
“Kami mempunyai matlamat, iaitu perjalanan kembali ke kegemilangan, budaya dan keaslian kopi Yaman.” – AFP