NEW YORK, 13 DIS – Konflik lapan tahun di Yaman mengorbankan atau mencederakan lebih 11,000 kanak-kanak, menurut Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF).
Purata empat kanak-kanak terbunuh atau cedera sejak permulaan perang di Yaman pada 2015, agensi Anadolu memetik UNICEF sebagai berkata dalam satu kenyataan semalam.
Walaupun gencatan senjata yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berjaya mengendurkan konflik dengan ketara, 62 lagi kanak-kanak terbunuh atau cedera selepas gencatan senjata di seluruh negara tamat pada 2 Oktober, katanya.
Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell menggesa gencatan senjata diperbaharui susulan kunjungannya ke negara yang dilanda perang itu minggu lepas.
“Beribu-ribu kanak-kanak kehilangan nyawa, ratusan ribu lagi kekal berisiko mati akibat penyakit yang boleh dicegah atau kelaparan,” kata Russell.
Dianggarkan 2.2 juta kanak-kanak di Yaman mengalami kekurangan zat makanan yang teruk, termasuk hampir 540,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun mengalami kekurangan zat makanan yang teruk dan bergelut untuk terus hidup, menurut UNICEF. – Bernama
