BLOOMINGTON, Minnesota, 6 Ogos – Pihak FBI kini mencari bagi suspek-suspek selepas satu peranti letupan memecah sebahagian masjid di pinggir bandar Minneapolis semalam ketika orang ramai bersedia bagi mengerjakan sembahyang Fardu Subuh, merosakkan sebuah bilik namun tidak menyebabkan sebarang kecederaan, menurut pihak berkuasa dan saksi-saksi.
Letupan itu berlaku kira-kira jam 5 pagi di Pusat Islamik Dar Al-Farooq di Bloomington, menurut Ketua Polis Bloomington, Jeff Potts. Jendela-jendela pejabat imam pecah, sama ada disebabkan letupan itu atau oleh objek yang dilontar ke arahnya, lapor akhbar Star Tribune.
Seorang jemaah melihat satu trak pikap memecut selepas letupan itu, kata Mohamed Omar, pengarah eksekutif pusat berkenaan. Dia berkata masjid itu yang memberikan khidmat kepada komuniti besar Somalia di kawasan itu, sekali-skala menerima panggilan dan e-mel ancaman.
“Kami datang ke negara ini bagi sebab yang sama semua orang yang datang ke sini: kebebasan beribadat,” ujar Yasir Abdalrahman, seorang jemaah di masjid itu memberitahu akhbar berkenaan. “Dan kebebasan itu kini di bawah ancaman. Semua orang Amerika perlu rasa terhina olehnya.” Pengarah Masyarakat Islam Amerika di Minnesota, menggambarkan serangan itu sebagai satu pengeboman.
Para penyiasat akan cuba untuk menentukan sama ada insiden itu adalah jenayah kebencian dan siapa dalangnya, menurut Richard Thornton, ejen khas yang mengetuai Divisyen FBI Minneapolis. Thornton berkata ketika satu sidang media bahawa letupan itu disebabkan oleh satu “peranti letupan buatan sendiri,” dan para penyiasatan telah mengambil komponen-komponen peranti berkenaan untuk memikirkan bagaimana ia dipasang. – AP