DALLAS, 8 APRIL – Siddharth Nandyala, seorang remaja berusia 14 tahun dari Dallas, telah berjaya menciptakan aplikasi telefon pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dinamakan Circadian AI, mampu mengesan penyakit jantung hanya dalam tujuh saat melalui analisis bunyi degupan jantung.
Nandyala bukanlah seorang remaja biasa kerana dia kini telah diiktiraf sebagai profesional AI termuda di dunia dengan pensijilan daripada Oracle dan ARM dan bersedia merevolusikan kaedah pengesanan penyakit jantung menerusi aplikasi mudah alih yang mampu menganalisis rakaman bunyi jantung dan memberikan diagnosis pantas yang berpotensi menyelamatkan nyawa pengguna.
Menurut Oddity Central, Circadian AI ini menggunakan algoritma canggih untuk menganalisis bunyi jantung yang dirakam melalui telefon pintar, sekali gus membolehkan diagnosis penyakit jantung dibuat dalam tempoh hanya beberapa saat.
Aplikasi inovatif ini telah diuji ke atas lebih daripada 15,000 pesakit di Amerika Syarikat (AS) dan 700 pesakit di India, dengan ketepatan mencapai sehingga 96 peratus.
“Saya amat bangga dengan bakat luar biasanya dan dedikasi Siddharth dalam menggunakan teknologi demi manfaat umat manusia,” kata Ketua Menteri Andhra Pradesh, N. Chandrababu Naidu selepas bertemu dengan remaja genius itu baru-baru ini.
Tambahnya, “Pada usia yang begitu muda, dia menjadi inspirasi kepada kita semua. Saya menyokong sepenuh minatnya dalam teknologi penjagaan kesihatan dan memberi jaminan dia akan menerima sokongan padu dalam setiap usahanya.”
Menurut akhbar Times of India, aplikasi Circadian AI telah menjalani ujian ketat di Hospital Besar Kerajaan Guntur, India dan berjaya membuktikan keupayaannya dengan mengenal pasti penyakit jantung dengan cepat dan tepat.
Inovator muda itu turut membentangkan ciptaannya dalam edisi terkini pada Sidang Kemuncak Kecerdasan Buatan Global di Hyderabad, tentang bagaimana teknologinya mampu memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan secara lebih efisien dan inklusif.
Nandyala pada ketika ini telah menamatkan persekolahannya di Sekolah Menengah Lawler, Texas dan kini sedang melanjutkan lagi pengajiannya, Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Sains Komputer di Universiti Texas di Dallas. – Agensi
